Sebut saja pasal durian, mesti dalam kepala anda dah terbayang ulas kuning lemak manis yang kalau makan sekali, memang susah nak berhenti.
Tapi, pernah tak anda bayangkan makan durian yang warnanya merah terang macam gincu, tapi sebenarnya lebih sihat dan rendah gula?
Kalau varieti Musang King pernah digelar sebagai ‘Rolex’ di dalam pasaran, mungkin kini ia akan beralih kepada varieti baharu yang berjaya ditemui oleh pekebun di Sabah.
Bukan satu mitos, tapi itulah realiti khazanah hutan di Negeri Di Bawah Bayu. Sejak kebelakangan ini, Sabah nampaknya bukan sahaja mahu tarik pelancong dengan Gunung Kinabalu, tetapi mereka kini sedang menjadi ‘spotlight’ varieti durian yang cukup unik dan jarang ditemui di tempat lain.
Memetik laporan CNA, Sabah kini giat menganjurkan pelbagai pesta dan pertandingan durian untuk mempromosikan hasil tanaman tempatan mereka.
Acara ini menjadi tumpuan semua jenis pekebun, dari pemilik ladang besar hinggalah pekebun kecil.
Apa yang menariknya, festival ini mengetengahkan spesies durian unik yang memang susah mahu ditemui di tempat lain, melainkan di kepulauan Borneo sahaja.

Pada tahun ni, ada 13 jenis durian telah bertanding untuk merebut gelaran juara dalam pertandingan durian tahunan di Sabah. Semua durian ni dinilai dari segi rupa bentuk, warna, bau, rasa, dan juga saiz bijinya.
Bagaimanapun, satu varieti durian yang berjaya mencuri perhatian juri adalah Durian Dalit yang mana hanya dijadikan sebagai pameran dan untuk dicuba oleh mereka yang terbabit sahaja. Difahamkan durian ini merupakan spesies natif liar yang ada di Borneo.

Durian Dalit ni memang senang sangat mahu dikenali susulan warna isinya yang merah pekat, oren terang, atau kuning. Memang nampak “glow” dan menyerlah betul!
Walaupun dalam keluarga Dalit ni ada 13 spesies, sebenarnya 5 jenis saja yang boleh dimakan oleh manusia.
Rasa Macam Kotak Coklat?

Pengerusi Persatuan Penanam Durian Sabah, Duane Evans, menyifatkan pengalaman makan durian Dalit ini seperti memenangi ‘kejutan’.
“Warna dan rasanya ibarat sebuah kotak coklat, korang takkan tahu apa rasa yang korang akan dapat sampailah korang sendiri yang cuba.”
Secara teknikalnya, durian ini mempunyai tekstur yang sangat berkrim dengan sedikit nota rasa seolah-olah bergas (alkohol). Walaupun baunya tidaklah sekuat durian biasa, tapi ketulenan rasanya pasti akan buat korang terkejut.
Khazanah Yang Semakin Pupus
Tapi sayangnya, durian Dalit ni makin lama makin susah nak jumpa. Sekarang ada kurang daripada 100 hektar saja pokok yang tinggal dekat hutan liar disebabkan faktor penebangan hutan dan perubahan cuaca.
‘Tenom Beauty’ Jadi Kegilaan Pelancong
Kalau korang singgah ke Pasar Todak di Kota Kinabalu, ada satu gerai yang memang tengah trending milik De Green Farm. Mereka mempertaruhkan varieti Tenom Beauty yang mempunyai isi merah menyala.
Menurut Tracy Liew selaku pengerusi ladang tersebut, pelancong luar terutamanya dari China sanggup datang jauh semata-mata nak cari durian ini sebab keunikan dan keasliannya yang hanya ada di Sabah.
Bila Waktu Terbaik Nak Cari?
Bagi korang yang dah mula terliur, pokok durian merah ini biasanya berbuah setahun sekali, iaitu sekitar bulan Disember dan Januari.
Setiap pokok boleh menghasilkan sehingga 200 biji, jadi waktu sekarang adalah masa yang paling tepat untuk korang rancang trip ke Sabah.