Situasi semakin panas melibatkan Ekin Rahmat serta pemilik gerai makanan laut berkenaan selepas Ekin Rahmat yang pada mulanya memuat naik di media sosial mengenai caj harga mahal sebuah gerai makanan laut di Johor Bahru.

Isu yang menjadi lebih tegang apabila pemilik gerai berkenaan tampil memberi penjelasan dengan mendakwa Ekin Rahmat, Mawi serta 18 individu yang hadir bersama membuat tempahan melibatkan pelbagai hidangan lauk.

Baca Juga:

Ekin Rahmat seterusnya sekali lagi tampil menjelaskan  penjelasan dibuat pemilik gerai makanan laut yang didakwa mengenakan caj mahal tidak menggambarkan situasi sebenar.

“Saya ada lihat video penjelasan makcik berkenaan dan resit dipaparkan tidak sama dengan apa yang diberikan kepada saya.

“Resit asal tidak ada butiran terperinci untuk setiap hidangan seperti yang disebut dalam video ini.

“Jika ditulis semua butiran dalam resit asal, rasanya tidak timbul isu seperti ini.

“Saya juga ingin menjelaskan, bilangan anggota keluarga yang makan pada hari berkenaan bukanlah 20 orang seperti dinyatakan.

“Semuanya, 16 orang iaitu 10 dewasa, empat kanak-kanak dan dua bayi.

“Saya ada bukti bergambar jika ada yang meraguinya,” katanya kepada BH Online.

Ditanya adakah bersedia bersemuka dengan peniaga berkenaan seperti yang disarankan, Ekin berkata, dia tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Saya sudah suarakan rasa tak puas hati dan dia juga sudah memberi penjelasan, jadi tak perlulah saya bertemu dengannya.

“Bayaran pun sudah dijelaskan dan makanan masuk perut, jadi tidak perlu untuk perkara ini dipanjangkan.

“Sebenarnya itu adalah kali pertama saya dan keluarga berkunjung ke gerai berkenaan. Selalunya, kami ke gerai lain yang memang sudah biasa.

“Secara kebetulan, ikan di gerai berkenaan sudah habis, maklumlah orang ramai pada hujung minggu.

“Kami pergi kedai makcik ini pun sebab dia yang panggil. Niat nak kongsi rezeki, tak sangka pula jadi isu seperti ini,” luahnya.

Difahamkan setakat ini, KPDN Johor telah mengambil tindakan terhadap gerai makanan laut berkenaan berikutan aduan yang diterima.