Setiap kali tandas dipam atau air dibuang ke dalam sinki, semuanya seolah-olah terus hilang begitu sahaja. Namun, pernahkah anda terfikir ke mana perginya semua air sisa dan bahan buangan tersebut?

Di sebalik sistem pembetungan yang memastikan kehidupan seharian berjalan lancar, terdapat petugas yang perlu berdepan dengan tugasan yang bukan sahaja mencabar, malah mempunyai risiko tersendiri.

Perkara itu diketengahkan menerusi siri video ‘Unsung Heroes’ oleh Indah Water Konsortium (IWK) yang membawa penonton melihat dengan lebih dekat tugas dan pengorbanan warga kerja dalam industri sanitasi.

Bukan Sekadar Kerja Biasa, Ini Antara Tugas 3D

Kerja dalam sektor sanitasi sering dikaitkan dengan konsep 3D iaitu Dirty, Dangerous dan Difficult.

Antara tugasan yang dilakukan termasuk penyelenggaraan loji, pengosongan tangki septik serta kerja membaiki sistem dan paip pembetungan.

 Unsung Heroes IWK

Dalam menjalankan tugas, petugas juga berdepan dengan beberapa risiko seperti bekerja di ruang terkurung, kawasan bawah tanah, persekitaran yang mungkin mempunyai gas berbahaya termasuk perlu berdepan air sisa mentah dan pelbagai bahan yang berpotensi membawa bakteria serta patogen.

Lebih mencabar, tugasan perlu dilakukan mengikut keperluan operasi termasuk ketika keadaan cuaca tidak menentu bagi memastikan sistem pembetungan terus berfungsi.

Siri Video Ini Bawa Penonton Singkap Sisi Yang Jarang Dilihat

Menerusi ‘Unsung Heroes’, IWK mengetengahkan pengalaman serta cabaran yang dihadapi warga kerjanya ketika menjalankan tugas.

Antara kandungan yang dikongsikan termasuk paparan tugasan harian petugas IWK yang bekerja dalam memastikan sistem pembetungan terus beroperasi.

1. Dedikasi wira sanitasi IWK

Salah satu video menunjukkan tugasan yang dilakukan oleh warga kerja IWK dalam mengendalikan operasi serta penyelenggaraan sistem pembetungan.

Paparan tersebut memberi gambaran tentang keadaan kerja yang mungkin tidak pernah dilihat oleh orang ramai.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SAYS (@saysdotcom)

2. TanTanNews turut tampilkan kisah warga kerja IWK

Selain itu, TanTanNews turut berkongsi sorotan mengenai warga kerja IWK dan tugasan yang dilakukan mereka.

Kisah di sebalik tugas ini menunjukkan bagaimana pekerjaan yang kurang mendapat perhatian ramai sebenarnya memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by TTN谈谈网 (@tantannews)

3. ‘OB Cuba’ turun padang rasai sendiri pengalaman petugas IWK

 

View this post on Instagram

 

A post shared by OHBULAN! (@ohbulanofficial)

Bukan sekadar melihat dari luar, inisiatif ‘OB Cuba’ pula membawa penonton melihat dengan lebih dekat operasi dan penyelenggaraan sistem kumbahan.

Menerusi pengalaman tersebut, penonton dapat melihat sendiri antara cabaran yang perlu dihadapi oleh petugas ketika menjalankan tugasan mereka.

Pentingnya Kerja Mereka Kepada Masyarakat?

Sistem pembetungan mungkin bukan sesuatu yang sering difikirkan dalam kehidupan seharian. Namun, pengurusan air sisa yang baik mempunyai kaitan rapat dengan kebersihan persekitaran dan kesihatan awam.

Air sisa perlu diurus dan dirawat dengan betul bagi mengurangkan risiko pencemaran sumber air serta penyebaran bahan yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.

Pada masa sama, sistem pembetungan yang berfungsi dengan baik membantu memastikan kawasan perumahan dan persekitaran bandar kekal bersih serta selesa. Sebab itu, kerja yang dilakukan oleh petugas sanitasi sebenarnya mempunyai kesan yang lebih besar daripada apa yang kita nampak.

Pengguna Juga Ada Peranan

Bagaimanapun, kelancaran sistem pembetungan bukan hanya bergantung kepada petugas yang menguruskannya. Pengguna juga mempunyai peranan dalam memastikan sistem tersebut tidak mudah tersumbat atau rosak.

Antaranya dengan mengelakkan pembuangan minyak masak terpakai, tuala wanita, tisu basah dan sampah ke dalam tandas atau sinki. Benda yang nampak kecil ini boleh memberi kesan kepada sistem pembetungan dan akhirnya menambah beban kepada petugas yang perlu mengendalikannya.

Melalui siri ‘Unsung Heroes’, IWK bukan sahaja mengetengahkan sisi pekerjaan yang jarang dilihat, tetapi turut membuka ruang untuk masyarakat mengenali individu di sebalik sistem sanitasi yang digunakan setiap hari.

Mungkin selepas ini, setiap kali kita pam tandas atau membuka pili air, kita akan teringat bahawa ada individu di belakang tabir yang memastikan semuanya terus berjalan.