Inisiatif kerajaan menyiarkan perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 secara percuma menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV menerima maklum balas amat positif, sekali gus membantu mengurangkan kos yang perlu ditanggung oleh pengusaha restoran dan orang awam.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut disampaikan sendiri oleh Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang menyifatkan penyediaan siaran percuma itu memberikan penjimatan yang signifikan kepada golongan pengusaha makanan dan minuman (F&B), petik BERNAMA.

Merancakkan Sektor Makanan Dan Minuman

Menurut Fahmi, akses mudah perlawanan bola sepak berprestij itu bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah mampu menjadi daya tarikan utama bagi premis perniagaan.

“Kita tahu perlawanan-perlawanan ini boleh ditonton melalui RTM, RTMKlik dan Unifi TV. Bagi saya, ini membantu mengurangkan kos yang sepatutnya ditanggung oleh orang awam serta pengusaha premis makanan.

“Kami berharap inisiatif ini dapat membantu, khususnya sektor makanan dan minuman, untuk menarik lebih ramai penonton dan pelanggan ke premis mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Edisi Khas Jiwa@Sembang Santai Piala Dunia FIFA 2026 yang diadakan di medan selera Pasar Awam Seberang Jaya, di sini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa menonton separuh masa pertama perlawanan antara Brazil dan Haiti bersama para pengunjung, selain beramah mesra dengan golongan peniaga di pasar awam berkenaan.

Sumber