Mohd Ridzwan Bakri merupakan figura yang tidak perlu untuk diperkenalkan lagi dalam kalangan peminat futsal tanah air.

Kelincahan dalam mengatur serangan, kemahiran individu serta bijak menghidu peluang untuk merobek gawang lawan menjadi senjata utama buatnya setiap kali turun beraksi.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Sejak Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) mula diperkenalkan pada 2019, Ridzwan sudah meledakkan 39 gol manakala 11 jaringan pula terhasil dalam saingan Piala Futsal Malaysia.

Ini bermakna dalam tiga edisi kejohanan (kempen 2020 dibatalkan berikutan COVID-19), beliau telah mencetak 50 gol secara keseluruhan.

Statistik yang sudah cukup jelas untuk menceritakan adunan pakej dimiliki Ridzwan menjadikannya seorang pemain yang cukup berkualiti.

Sehubungan dengan itu, tidak hairan juga pemain yang mesra disapa Iwan dalam komuniti futsal ini sentiasa menjadi pilihan dalam memperkuatkan skuad kebangsaan.

Meraikan kejayaan menjaringkan gol pada perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia 2023. Kredit Foto: Pahang Rangers

Lupakan bola sepak demi futsal

Dilahirkan pada 25 Ogos 1994, Ridzwan yang merupakan anak kelahiran Tawau, Sabah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu 4, Jalan Apas dan meneruskan pembelajarannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Apas.

Ridzwan pada mulanya berjaya menempatkan diri dalam skuad Piala Presiden Sabah bagi menghadapi musim 2013.

Namun atas sebab-sebab tertentu, beliau terpaksa melupakan bola sepak lalu memilih untuk menyerlahkan lagi bakatnya dalam futsal.

Futsal juga bukanlah asing buat Ridzwan kerana beliau terdedah dengan sukan lima sebelah tersebut pada usia 13 tahun dengan menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan disana.

Pilihan yang buahkan hasil buat Ridzwan

Keputusan yang diambil pemain berusia 29 tahun itu nyata berada di landasan tepat apabila karier Ridzwan berkembang dengan cukup baik meskipun futsal masih belum diterima rakyat Malaysia seperti bola sepak.

Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 yang diadakan di Kuala Lumpur menjadi titik tolak kepada permulaan karier Ridzwan dalam futsal.

Walaupun tidak mampu menghadirkan kejayaan buat kontinjen Sabah pada ketika itu, kualiti Ridzwan mendapat perhatian barisan kejurulatihan untuk dibawa menyertai skuad Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2013/14.

Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh Ridzwan untuk membuktikan kemampuan diri dan beliau membalas kepercayaan itu dengan 41 gol yang dihasilkan pada musim sulung menyarung jersi negeri kelahirannya itu.

Jumlah jaringan yang menjadikannya sebagai penjaring kedua terbanyak kejohanan dibelakang Khairul Rizuan Harif Pagilah dari Pahang.

Prestasi cemerlang ditampilkan Ridzwan sepanjang kejohanan telah mendapat perhatian panel pemilihan skuad futsal negara dan beliau mula mengintai peluang terbaik menyarung jersi skuad kebangsaan.

Karier terus berkembang dengan koleksi jaringan dan kejuaraan

Musim cemerlang dengan enam kali hatrik diledakkannya masih belum cukup untuk membantu Sabah yang menamatkan saingan di kedudukan ke-13.

Kedudukan yang sekali gus gagal membawa Sabah ke Piala Felda dimana diisi oleh kelompok lapan pasukan teratas.

Keadaan tersebut memberikan peluang buat beliau untuk berhijrah buat seketika setelah khidmatnya ditagih Kedah sebagai pemain pinjaman.

Skrip yang sama turut berlaku pada musim berikutnya apabila Ridzwan beraksi untuk pasukan Sabah di peringkat liga manakala saingan piala pula beliau dipinjamkan kepada Selangor.

Peluang kali ini lebih manis buat Ridzwan Bakri apabila gandingan mantap bersama Khairul Effendy Bahrin berjaya membawa Selangor ke  perlawanan akhir tetapi tewas ditangan Felda United.

Penarikan diri Sabah pada saat akhir sebelum sepak mula LFK 2017 memaksa Iwan meninggalkan negeri tercinta untuk menabur bakti bersama Pahang.

Tidak kekok dengan persekitaran baharu buatnya, Ridzwan mencurahkan segala kelebihan yang dimiliki untuk menjadi antara tonggak pasukan dalam membantu Pahang menamatkan saingan ditempat ketiga.

Jodohnya bersama skuad ‘Tok Gajah’ itu bagaimanapun hanya bertahan semusim dan kemudiannya pada tahun 2018 beliau memilih untuk menyarung jersi Perak.

Pemergiannya ke Perak merupakan boleh dianggap sebagai keputusan bijak setelah Ridzwan berjaya menjadi penjaring terbanyak buat Perak dengan 21 jaringan dihasilkan.

Ia turut menjadikannya penjaring kedua terbanyak musim 2018 dibelakang rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Azri Rahman yang ketika itu beraksi untuk Melaka United.

Lebih manis, Perak yang ketika itu dibimbing Qusmaini Noor Rusli menamatkan saingan di kedudukan kedua, pencapaian terbaik sepanjang penyertaan mereka dalam kempen LFK.

Bagaikan sudah mula selesa dengan persekitaran di Ipoh, Ridzwan Bakri meneruskan khidmatnya bersama Perak semusim lagi bagi menghadapi edisi sulung MPFL 2019 dengan menjaringkan 18 gol.

Ingin mengambil angin baharu, Ridzwan kemudiannya memilih Pahang Rangers menjadi destinasi terbaharu buat kariernya pada musim 2020.

Namun, ekoran wabak melanda saingan pada musim 2020 terpaksa dibatalkan dan kejohanan paling berprestij tanah air itu menerima nasib sama pada 2021.

Bersambung kejohanan pada 2022, Ridzwan menjadi sandaran buat Pahang Rangers untuk memburu kejuaraan sulung dengan 19 gol keseluruhan disumbangkannya tetapi dua kali mereka digagalkan oleh Selangor MAC dalam saingan MPFL dan Piala Futsal Malaysia.

Dendam itu segera dilunaskan Ridzwan dan Pahang Rangers pada musim lalu apabila skuad kendalian Gerrard Casas itu berjaya menjulang trofi MFPL dan Piala Futsal Malaysia 2023.

Malah, Ridzwan sendiri memainkan peranan penting pada aksi final Piala Futsal Malaysia dengan dua gol dihasilkan sehingga menjadikannya sebagai ‘Pemain Paling Bernilai’ pertandingan tersebut.

Turut cemerlang bersama skuad kebangsaan

Meskipun skuad negara sudah bertukar khidmat jurulatih daripada Marcelo Serpa ke Chiew Chun Yong dan kini Rakphol Sainetngam, sumbangan Ridzwan terhadap skuad kebangsaan masih diperlukan.

Debut Ridzwan bersama skuad negara ialah ketika Kohanan Futsal Jemputan Oceania Football Confederation (OFC) 2014 yang berlangsung di Paita, New Caledonia.

Walaupun tewas 1-4 pada aksi pembukaan bertemu New Zealand, Malaysia kembali bangkit dengan tiga perlawanan berturut-turut menentang Tahiti 5-2, Vanuatu 9-5 dan New Caledonia 6-3.

Ridzwan Bakri sendiri berjaya menjaringkan dua gol, masing-masing pada satu gol pada perlawanan menentang Tahiti dan Vanuatu.

Ridzwan ketika bersama skuad kebangsaan. Kredit Foto: Pahang Rangers

Selain itu, meraih pingat perak di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur pasti menjadi antara kenangan manis buat beliau sepanjang menyarung jersi skuad kebangsaan.

Manakala di peringkat AFF pula, Ridzwan pernah merasai nikmat beraksi dalam dua perlawanan akhir iaitu di edisi 2017 dan 2018 tetapi kedua-duanya ditewaskan oleh Thailand. Manakala dua kali menduduki tempat ketiga pada tahun 2015 dan 2016.

Kejuaraan Futsal AFC 2018 di Chinese Taipei menjadi pentas tertinggi dalam karier beliau selepas terpaksa diketepikan pada saat akhir pada saingan 2016 (Uzbekistan) akibat kecederaan tumit.