Johor Darul Ta’zim (JDT) menghadiahkan kekalahan sulung buat Pahang Rangers dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 selepas merakamkan kemenangan 4-3, sebentar tadi.
Perlawanan yang menemukan dua pasukan teratas di Stadium Tertutup Pasir Gudang itu jelas berlangsung dengan cukup sengit.
Baca Juga:
- Penantian Terlerai, Ridzwan Bakri Dan Mahadir Harahap Tambah Kekuatan Skuad Futsal JDT
- 4 Pemain Ini Mampu Untuk Beraksi Di Liga Futsal Thailand
- Liridon Krasniqi Tampilkan Kelincahan Di Kancah Futsal Jerman
JDT yang masih mengekalkan rekod kemenangan bersih tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas Awalluddin Mat Nawi menolak masuk bola bagi memberikan kelebihan buat tuan rumah seawal minit kedua.
Abu Haniffa Hassan hampir melebarkan kedudukan berselang enam minit kemudian, namun percubaan pemain berpengalaman itu sekadar singgah di palang gol ketika penjaga gol Pahang Rangers, Zainulzahin Sinuan sudah pun tertewas.
Dengan reputasi kedua-dua pasukan selaku pilihan juara, aksi hangat jelas dapat disaksikan melibatkan pemain dan barisan kejurulatihan.
Namun pengadil perlawanan, Helday Idang dan Ghaffar Zambri berjaya mengawal keadaan dengan baik untuk kembali meneruskan permainan.
Skuad kendalian Gerard Casas Ullestre mendapat dua peluang terbaik menerusi Ahmad Harith Na’im Nasir pada minit ke-10 dan 11 tetapi percubaannya daripada jarak dekat diselamatkan oleh penjaga gol, Aiman Fikry Ramli.
Tidak sampai seminit, Danial Dain melebarkan kedudukan buat tuan rumah susulan rembatan padunya yang berjaya menewaskan Zainulzahin untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Usaha Pahang Rangers untuk mendapatkan jaringan membuahkan hasil ketika permainan memasuki minit ke-18 menerusi jaringan sepakan penalti kedua (second spot) disempurnakan oleh penjaring terbanyak, Felipe De Souza.
Seminit kemudian, Harith Na’im hampir menyamakan kedudukan tetapi percubaannya dalam kawasan D terkena tiang gol untuk kedudukan 2-1 memihak JDT pada rehat babak pertama.
Ketika aksi babak kedua baharu sahaja bermula, Awalluddin tidak menunggu lama untuk melebarkan kedudukan buat tuan rumah hasil jaringan ‘backheel’ ketika situasi kelam-kabut.
Pahang kemudiannya merapatkan kembali kedudukan berselang dua minit kemudian hasil kuisan mudah dilakukan Felipe ketika menerima umpanan Harith Na’im.
Memasuki minit ke-35, Ridzwan Bakri menceriakan para penyokong JDT apabila beliau berada di kedudukan yang tepat untuk menolak masuk bola bagi memberikan kelebihan dua gol.
Aksi selepas itu lebih menarik dengan Harith Na’im pula meletakkan nama selaku penjaring tetapi ia masih belum mampu untuk menghalang kemenangan berharga buat JDT.