Skuad Futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) sebentar tadi mengumumkan kehadiran Raimundo Helio Carneiro Neto bagi mengisi slot pemain import kedua kelab tersebut untuk menghadapi saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024.

Kehadiran pemain yang mesra dengan panggilan Neto itu sekali gus melengkapkan gandingan duo Brazil bersama seorang lagi pemain import JDT, Caio Cesar Garcia Rego yang sudah semusim bersama pasukan.

Baca Juga:

Perkembangan terkini mengenai kehadiran pemain baharu itu disahkan skuad futsal JDT menerusi laman sosial rasmi kelab tersebut.

Helio Neto nyata bukan asing dalam kempen MPFL kerana menjadi antara sandaran buat Selangor TOT United pada musim 2023.

Neto, 33 tahun merupakan pemain yang mempunyai kemahiran individu cukup baik dan tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau turut memiliki kualiti berkelas dunia.

Selain itu, oleh kerana kedua-dua kakinya ‘hidup’, Helio Neto mempunyai kemampuan dalam meledakkan rembatan padu dalam usaha mendapatkan jaringan.

Ia jelas dibuktikan dengan jaringan-jaringan menarik pernah dihasilkannya dalam kempen MPFL yang menyaksikan beliau berjaya mencetak 12 gol dan dua lagi hadir ketika Piala Futsal Malaysia.

Malah ketika bertemu JDT sebanyak empat kali pada musim lalu, Neto sering kali menjadi duri dalam daging buat kelab tersebut dengan kemampuan hebat dijelmakannya.

Helio Neto menjadi pemain kedua daripada Selangor TOT United menyertai JDT selepas ketua pasukan, Yazid Kamaruzuan yang terlebih dahulu diperkenalkan sebagai rekrut baharu skuad naib juara MPFL dan Piala Futsal Malaysia 2023 itu pada Disember lalu.