Pendahulu saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024, Johor Darul Ta’zim (JDT) menambah kekuatan pasukan selepas mengumumkan kehadiran pemain import baharu dari Brazil, Bruno Taffy Nogueira Aguiar.
Perkembangan terkini kedatangan pemain berusia 34 tahun yang bakal beraksi di posisi pivot itu disahkan sebentar tadi oleh laman Facebook rasmi JDT Futsal.
Bruno memiliki reputasi yang cukup hebat apabila berpengalaman luas beraksi di Liga Futsal Sepanyol dimana beliau baharu sahaja menamatkan kempen 2023/24 bersama ElPozo Murcia Costa Calida.
Bruno dan Elpozo mara ke pentas final liga pada tetapi tewas kepada Jimbee Cartagena.
Beliau menikmati musim yang cemerlang apabila meledakkan 16 gol pada musim ini.
Sebelum itu, Bruno Taffy turut pernah menyarung jersi dua lagi kelab gergasi di Sepanyol iaitu Palma Futsal dan Inter Movistar.
Di pentas antarabangsa pula, Bruno yang menganggotai skuad kebangsaan Brazil merasai nikmat selalu juara Copa America 2022 dimana beliau menjaringkan dua gol.
Kehadiran Bruno Taffy adalah bagi menggantikan rakan senegaranya, Raimundo Helio Carneiro Neto yang tamat kontrak selama enam bulan dan sempat beraksi pada pusingan pertama MPFL 2024.
Selepas mengharungi tujuh perlawanan liga, JDT mencatatkan kemenangan bersih untuk mengungguli tangga teratas dengan kelebihan lima mata dihadapan pencabar terdekat, Pahang Rangers.
Dengan kekalahan dialami Pahang Rangers kepada Selangor tempoh hari, JDT berpeluang untuk melebarkan kelebihan kepada lapan mata seandainya berjaya menundukkan Terengganu, esok.