Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) menambah kekuatan pasukan menjelang sepak mula Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) pada Januari nanti dengan membawa masuk bekas pemain kebangsaan, Yazid Kamaruzuan.
Penyudah tajam dalam merobek gawang lawan serta sifat kepimpinan dimiliki telah mencuri tumpuan barisan kejurulatihan JDT yang diketuai Juan Antonio Miguel Garcia untuk membawa Yazid ke kelab himpunan bintang tersebut.
Baca Juga:
- Kenali Adisak Benjasiriwan, ‘Bapa Kemajuan Futsal Thailand’
- Tundukkan KPTM Bangi, UiTM Muncul Juara Liga Futsal IPT 2023
- Akademi TOT United B-12 Ungguli KL Junior 5’s 2023
Ia jelas dibuktikan apabila Yazid berupaya menjaringkan 13 gol dalam kempen liga. Malah, pemain berusia 31 tahun itu juga turut cemerlang ketika berhadapan dengan JDT sewaktu menyarung jersi Selangor TOT United.
Beliau berjaya meledakkan hatrik bertemu JDT ketika aksi pusingan kedua liga yang berlangsung di Pasir Gudang serta separuh akhir pertama di Shah Alam.
Bijak mencuri peluang ketika permainan ‘Power Play’, lincah serta memiliki kaki kiri berbisa yang menjadi aset kekuatan Yazid Kamaruzuan dilihat mampu untuk meningkatkan kemampuan JDT untuk memburu kejuaraan selepas dua kali kecewa ditangan Pahang Rangers pada musim ini.
Dengan misi yang semestinya tampak jelas untuk mengungguli kancah futsal tempatan, JDT turut dikatakan sedang mengintai khidmat seorang pemain skuad kebangsaan.
Namun, menurut sumber dipercayai, masih belum ada perkembangan terkini mengenai berita tersebut.
Selain itu khidmat pemain import baharu akan turut ditagih JDT apabila kontrak pemain Thailand, Tanatul Tadavirot tidak disambung.
Sehubungan itu, sejajar dengan perubahan peraturan dua pemain import berstatus bebas dibenarkan, JDT berkemungkinan akan membawa masuk pemain yang berpengalaman dalam saingan Liga Futsal Sepanyol.