Pengaruh influencer media sosial dilihat membentuk tingkah laku kewangan rakyat Malaysia, terutamanya melalui perkongsian janji-janji ‘cepat kaya’.
Berbeza dengan profesional kewangan berlesen, “finfluencer” bebas menyiarkan tips wang, pandangan pelaburan, dan “hack” kekayaan di media sosial tanpa kawalan, justeru mungkin mendedahkan pengguna kepada risiko.

Laporan terkini, berkuat kuasa 1 November, garis panduan baharu SC Malaysia kini mengawal selia pengiklanan produk pasaran modal berikutan isu finfluencer. Pencipta kandungan diberi amaran bahawa perkongsian tertentu memerlukan lesen atau pendaftaran.
Melanggar peraturan ini adalah kesalahan serius di bawah undang-undang, yang boleh membawa kepada hukuman denda maksimum RM10 juta, penjara 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Fikirkan masak-masak sebelum berkongsi kandungan anda. Ia mungkin melibatkan aktiviti yang memerlukan lesen atau pendaftaran daripada SC,” tegas suruhanjaya itu.
“Mempromosikan kripto mungkin memerlukan kebenaran SC.”
SC turut mengingatkan bahawa individu wajib mengesahkan syarikat di sebalik produk yang dipromosikan itu berlesen dengan SC.
Kegagalan berbuat demikian berisiko menyokong penipu atau syarikat tidak sah, yang boleh membawa kepada tindakan undang-undang.
“Pastikan kandungan anda jelas, adil, dan seimbang, kerana maklumat palsu atau mengelirukan boleh menyebabkan anda disabitkan kesalahan,” tambah mereka.
Pada masa yang sama, aktiviti memuat naik, berkongsi, atau mempromosikan mata wang kripto mungkin memerlukan kebenaran SC sekiranya ia melibatkan pemberian nasihat pelaburan.
Platform dagangan wajib memiliki kebenaran SC jika ingin mempromosikan produk pasaran modal kepada rakyat Malaysia. Membantu atau bersubahat dengan platform haram atau penipu, melalui promosi, boleh membawa kepada pendakwaan undang-undang.