Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik Belanjawan 2027 yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas infrastruktur digital, meningkatkan kesalinghubungan serta mempercepat transformasi digital negara demi manfaat rakyat dan pertumbuhan ekonomi.

MCMC dalam kenyataan pada 12 Oktober memaklumkan, antara inisiatif utama yang diumumkan adalah peruntukan RM5 bilion menerusi Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memperluas liputan Internet berkualiti tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk perkampungan Orang Asli.

“Peruntukan ini akan digunakan untuk memperluas liputan Internet berkualiti tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk perkampungan Orang Asli.

“Ia juga akan meningkatkan kesalinghubungan merentasi 7,000 kilometer (km) jalan raya dan lebuh raya serta 1,700 km laluan rel di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, selain itu, peruntukan RM1 bilion bagi Pemerkasaan Ekosistem Kesihatan Digital Negara menerusi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) akan terus meningkatkan infrastruktur dan kesalinghubungan digital sektor kesihatan.

“Inisiatif PERSADA akan terus meningkatkan infrastruktur dan kesalinghubungan digital sektor kesihatan, menyokong peluasan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), telekesihatan dan penggunaan dron bagi penghantaran ubat, sekali gus menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan di luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi memperkasa fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab komuniti digital, peruntukan RM142 juta disediakan bagi menyediakan latihan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI), selain menyokong pembangunan ekonomi dan keusahawanan setempat.

MCMC turut berkata, pembangunan Sistem Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) akan meningkatkan kapasiti dan daya tahan rangkaian antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang lebih inklusif dan mampan.

Bagaimanapun, dalam sektor pendidikan tinggi pula, penyediaan Wi-Fi di semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam akan memastikan akses Internet lebih menyeluruh kepada pelajar, menyokong pembelajaran digital serta pembangunan bakat masa hadapan.

“Kemudian, pembangunan Sovereign AI Cloud dan usaha mempertingkatkan keselamatan siber negara akan memperkukuh kedaulatan data, menyokong pembangunan AI yang selamat serta meningkatkan daya tahan ekosistem digital negara.

“MCMC juga akan terus memperhebat Kempen Internet Selamat di sekolah seluruh negara sambil membanteras penipuan digital, termasuk menyekat lebih 5.7 bilion panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan,” katanya.

Susulan itu, katanya, sebagai pengawal selia sektor komunikasi dan multimedia, MCMC komited memastikan setiap inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, industri dan negara.

Kata MCMC, pihaknya yakin pelaburan strategik ini akan terus memacu pembangunan ekonomi digital serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara digital yang berdaya saing.

RM5 Bilion 'Hidupkan' Internet Luar Bandar

Sementara itu, pakar ekonomi yang juga Pengarah Program MBA Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, inisiatif itu juga disifatkan sebagai satu langkah positif, khususnya dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar.

Beliau kata, pendekatan berkenaan juga mencerminkan fokus kerajaan dalam memperkukuh ekonomi digital sebagai pemacu pertumbuhan negara.

“Namun, kejayaan Belanjawan 2027 itu perlu dinilai berdasarkan impak sebenar terhadap produktiviti, pendapatan rakyat dan penciptaan pekerjaan berkualiti, bukan sekadar jumlah peruntukan yang diumumkan,” katanya.

Belanjawan 2027 adalah belanjawan kelima di bawah pentadbiran Kerajaan Madani pimpinan Anwar dan yang kedua dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Komunikasi menyambut baik pengumuman belanjawan berkenaan yang turut merangkumi pelbagai inisiatif di bawah kementerian terbabit.

Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil turut menekankan fokus belanjawan kali ini adalah dari segi pengukuhan infrastruktur digital dan kesalinghubungan, NADI serta industri perfileman tempatan.

Ahmed Razman berkata, pelaburan RM5 bilion menerusi inisiatif JENDELA berpotensi mempercepat pertumbuhan ekonomi digital dengan menyediakan akses internet lebih meluas dan berkualiti, khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman.

“Ketersambungan yang baik membolehkan perusahaan kecil dan sederhana memasarkan produk secara dalam talian, mengakses pasaran lebih luas serta meningkatkan kecekapan operasi.

“Namun, manfaat ekonomi hanya dapat dimaksimumkan jika infrastruktur ini disertai liputan yang stabil, harga internet berpatutan dan kemahiran digital dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Katanya, pulangan ekonomi bagi inisiatif berkenaan juga dijangka dapat dilihat melalui peningkatan produktiviti perniagaan, penciptaan pekerjaan dalam sektor digital dan peluang menjana pendapatan tambahan bagi isi rumah.

“Akses internet juga membolehkan penduduk luar bandar menyertai ekonomi gig, e-dagang dan pekerjaan jarak jauh.

“Dalam jangka panjang, pelaburan ini boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif, dengan syarat kerajaan menetapkan petunjuk prestasi yang jelas untuk mengukur peningkatan penggunaan internet, pendapatan dan aktiviti ekonomi di kawasan sasaran,” katanya.

Menurut Ahmed Razman, inisiatif peruntukan RM142 juta untuk NADI itu berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan digital, khususnya belia dan komuniti luar bandar, melalui latihan keusahawanan, pemasaran digital serta penggunaan platform e-dagang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, program berkenaan tidak seharusnya terhad kepada penyediaan latihan asas semata-mata, sebaliknya perlu diikuti dengan bimbingan berterusan sehingga peserta mampu membina perniagaan mampan, meningkatkan jualan dan menembusi pasaran lebih luas.

“Kejayaan NADI wajar diukur berdasarkan bilangan perniagaan yang berkembang, peningkatan pendapatan usahawan dan peluang pekerjaan yang diwujudkan, bukan sekadar jumlah peserta latihan,” katanya.