Walaupun terdapat pengurangan sekatan terhadap penggantungan tujuh pemain tersebut, Rob Friend selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya merasakan keputusan itu tidak sepenuhnya adil.

Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam dunia bola sepak Malaysia.

Menurut kenyataan dikeluarkan Friend dalam laman Facebook Malaysia NT, beliau berkongsi pandangannya mengenai situasi ini, menekankan profesionalisme para pemain sepanjang proses tersebut.

Malaysia
Sumber Gambar: FAM

Rob Friend Anggap Hukuman Berlebihan

“Kami berasa kecewa dengan keputusan keseluruhan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan, walaupun sekatan telah dikurangkan.”

“Berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan, kami percaya terdapat asas yang kukuh untuk keputusan yang berbeza, dan para pemain telah berkelakuan dengan profesionalisme serta integriti sepanjang proses ini.”

“Pada pandangan kami, sekatan yang dikenakan terhadap para pemain masih berlebihan dan nampak tidak sepadan jika dibandingkan dengan beberapa kes sebelum ini yang melibatkan keadaan serupa, di mana penggantungan penuh daripada aktiviti bola sepak tidak dikenakan.”

Malaysia
Joao Figueiredo. Kredit Foto: Malaysia NT

“Ini merupakan tempoh yang amat sukar bagi para pemain dan kelab mereka, yang telah memberikan sokongan sepanjang masa walaupun tiada kaitan dengan isu asas.”

“Tanggungjawab kami sekarang adalah untuk berdiri teguh di belakang para pemain, menumpukan perhatian pada perlawanan akan datang menentang Vietnam, dan memastikan bola sepak Malaysia muncul lebih kuat serta bersatu daripada pengalaman ini.”

CAS sebelum ini menolak rayuan FAM dan keputusan FIFA untuk mengenakan denda CHF 350,000 ke atas FAM dikekalkan.

Panel CAS juga memutuskan bahawa tujuh pemain tersebut akan dikenakan larangan bermain selama 12 bulan, tetapi hanya untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Sumber