Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan, Rob Friend tanpa berselindung mengakui teruja untuk meningkatkan kemampuan skuad Harimau Malaya.
Sudah mula melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam bersama Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Dr. Craig Duncan, Friend melihat ini sebagai peluang terbaik buatnya untuk merintis kepada revolusi pasukan kebangsaan.
Baca Juga:
- Rob Friend Dilantik Sebagai CEO Harimau Malaya
- Tunku Ismail Dedah 7 Pemain Warisan Sudah Dikenal Pasti, Harap Kerajaan Bantu Dapatkan Pasport Malaysia
- Ini Posisi Pemain Warisan Yang Dikenal Pasti Kem Harimau Malaya
“Ini merupakan satu peluang yang baik buat diri saya. Saya sangat teruja untuk menyertai revolusi skuad Harimau Malaya.”
“Malaysia umpama sang gergasi yang sedang tidur,” ‘ ujar beliau menurut kenyataannya di laman Facebook rasmi FAM.
“Saya sudah bersedia untuk bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pemegang taruh terlibat seterusnya bersama-sama membangunkan sukan bola sepak di negara ini.”
Pemilik nama penuh Robert Douglas Friend itu dalam pada masa sama turut memberikan penghargaan kepada FAM dan Tunku Mahkota Ismail yang membuka peluang buatnya sambil melihat projek revolusi Harimau Malaya.
“Apa yang membuatkan saya teruja adalah visi FAM dan visi Tunku Mahkota Ismail. Oleh sebab itulah, saya berada di sini. Baginda merupakan orang yang paling berwawasan yang pernah saya temui.”
“Ketika saya bertemu dengan Tunku Mahkota Ismail, baginda menjelaskan tentang projek revolusi skuad Harimau Malaya. Pada pendapat saya, ini merupakan projek paling mengujakan dalam industri bola sepak global.”
“Saya turut melihat bahawa ini merupakan peluang yang unik untuk membangunkan bola sepak di Malaysia,” tambah Rob Friend lagi.