Ronald Koeman tetap mempertahankan keputusan kontroversinya menukar formasi Belanda kepada sistem lima pertahanan ketika tewas kepada Maghribi di pusingan kalah mati Piala Dunia 2026, malah menyalahkan desakan penyokong sebagai antara faktor utama perubahan tersebut.

Ketua jurulatih Belanda, Ronald Koeman enggan mengakui kesilapan taktikal selepas pasukannya tersingkir daripada Piala Dunia 2026 di tangan Maghribi.

Tiba tiba tukar formasi

Selepas cemerlang di peringkat kumpulan dengan menggunakan formasi 4-2-3-1 yang menghasilkan 10 gol dan hanya dibolosi empat kali, Koeman membuat keputusan mengejut apabila menukar sistem kepada 5-2-2-1 bagi aksi kalah mati menentang Maghribi.

Namun perubahan itu gagal memberikan impak positif apabila Belanda tampil lebih pasif, kurang kreatif dalam penguasaan bola dan akhirnya tersingkir sekali gus meneruskan penantian panjang untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.

Koeman dikecam di setiap sudut oleh pundit dan penyokong Belanda. Ini kerana ramai merasakan dia memperjudikan nasib pasukannya dengan menukar formasi yang dianggap eksperimentasi.

Namun Koeman membidas balik rakyat Belanda yang mengecamnya. Kerana menurutnya, semua ini salah mereka sendiri juga yang kerap mendesaknya bermain dengan sistem back 5.

Sekadar menunaikan hasrat rakyat Belanda

Ketika ditanya mengapa beliau memilih pendekatan lebih defensif, Koeman mendedahkan keputusan itu dibuat selepas menerima tekanan berterusan daripada penyokong di negaranya.

Untuk memuaskan hati rakyat Belanda, maka Koeman pun menukar perkara yang sedang berjalan elok – formasi 4-2-3-1 – dengan formasi bek berlima yang defensif.

Koeman berkata: “Saya melihat kempen kami kali ini dari sudut positif. Kami tak perlu nak salahkan diri sendiri.”

Koeman kemudian menyatakan bahawa ramai rakyat Belanda sendiri mahukan pasukan itu menggunakan sistem lima pertahanan.

“Semua rakyat di negara Belanda meminta kami bermain dengan sistem back 5.

“Apabila kamu menuruti permintaan mereka bermain dengan sistem back 5, kamu kena kecam pula. Namun sekali lagi saya nak cakap, saya tak peduli.”

Menurutnya lagi, perubahan formasi itu dibuat kerana beliau merasakan Belanda memberi terlalu banyak ruang kepada lawan sepanjang aksi peringkat kumpulan meskipun berjaya menamatkan saingan dengan keputusan memberangsangkan.

“Saya memutuskan untuk bermain dengan sistem back 5, sebab sebelum ini terdapat terlalu banyak ruang diberikan kepada lawan semasa di peringkat kumpulan. Dan saya langsung tidak menyesali keputusan saya walau sedikit pun,” tegasnya.

Apabila ditanya sama ada beliau akan mengubah keputusan tersebut sekiranya diberi peluang mengulang semula perlawanan menentang Maghribi, Koeman memberikan jawapan yang cukup tegas.

“Tak! Saya akan buat perkara yang sama sekali lagi.”

Kenyataan itu dijangka terus mengundang perdebatan dalam kalangan penyokong Belanda.

Ramai berpendapat perubahan taktikal itu memusnahkan momentum yang dibina sepanjang peringkat kumpulan, apabila Belanda dilihat kehilangan identiti permainan menyerang yang sebelum ini menjadi kekuatan utama mereka.

Sebaliknya, Maghribi tampil lebih tersusun dan berdisiplin, berjaya mengeksploitasi kelemahan Belanda yang kelihatan terlalu berhati-hati sebelum mengesahkan tempat ke suku akhir.

Belanda mendahului menerusi gol Cody Gakpo pada minit ke-72. Namun gol itu disamakan oleh Issa Diop pada minit ke-90+1.

Aksi masa ekstra tanpa sebarang jaringan. Dan penentuan sepakan penalti menyaksikan Belanda tewas 2-3 di tangan Maghribi

Kekalahan tersebut sekali lagi memanjangkan penantian Belanda untuk muncul juara dunia, meskipun mereka kekal sebagai antara negara yang mempunyai sejarah dan tradisi bola sepak paling disegani di pentas antarabangsa.