Perjalanan Cristiano Ronaldo dalam pemburuan trofi Piala Dunia pertama untuk negaranya akhirnya berakhir dengan penuh kepiluan apabila Portugal tewas 0-1 kepada musuh tradisi, Sepanyol, dalam aksi pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026 di Stadium AT&T, Dallas.

Cristiano Ronaldo tidak dapat menahan eomsi dan kesedihannya selepas wisel penamat.

Gol dramatik Mikel Merino pada minit pertama masa kecederaan memusnahkan harapan Portugal untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan, sekali gus menamatkan kempen negara itu dan impian Ronaldo untuk menjulang satu-satunya trofi utama yang tidak pernah dimilikinya.

Lebih penting, Portugal memiliki sejarah panjang yang gemilang dalam bola sepak. Mereka ada dua era yang dianggap era emas iaitu era Eusebio dan era Cristiano Ronaldo.

Namun negara yang kerap digelar mini Selecao itu masih gagal untuk meraih kejuaraan Piala Dunia setakat ini.

Sehari sebelum perlawanan, Ronaldo sendiri mengesahkan bahawa Piala Dunia 2026 merupakan penampilan terakhirnya di kejohanan terbesar bola sepak dunia.

Pada usia 41 tahun, beliau turun beraksi buat kali keenam di pentas Piala Dunia, satu rekod yang melambangkan ketahanan dan konsistensi luar biasa sepanjang lebih dua dekad bersama Portugal.

Namun, kisah indah yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Portugal berdepan lawan yang lebih menguasai permainan. Walaupun Diogo Costa beberapa kali menyelamatkan gawang dan Portugal bertahan dengan disiplin sepanjang perlawanan.

Namun mereka akhirnya tumbang apabila Merino menyudahkan gerakan pantas Sepanyol pada penghujung perlawanan.

Merino merobek gawang Portugal dengan gol pada masa kecederaan ke-90+1.

Ronaldo berusaha memimpin jentera serangan Portugal, tetapi dikawal rapi pertahanan Sepanyol dan gagal menghasilkan detik yang mampu mengubah keputusan perlawanan.

Kekalahan itu menandakan berakhirnya perjalanan legenda Portugal tersebut di pentas Piala Dunia tanpa trofi yang selama ini menjadi impiannya.

Walaupun gagal menawan Piala Dunia, legasi Ronaldo tetap kekal luar biasa. Dalam kariernya beliau memenangi 6 Ballon d’Or.

Dan legenda sepanjang zaman dari Portugal itu meninggalkan kejohanan sebagai pemain pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia serta antara penjaring terbanyak dalam sejarah Portugal.

Di Piala Dunia 2026, beliau turut mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia yang berbeza.

Bagi Sepanyol, kemenangan tipis itu membawa mereka ke suku akhir untuk meneruskan misi memburu gelaran dunia kedua, manakala bagi Ronaldo, ia menjadi penutup kepada satu perjalanan yang penuh dengan rekod, kenangan dan pencapaian, namun berakhir tanpa trofi yang paling diidamkan.