Selepas ini, tiada lagi bau roti sedap menyapa pelanggan di KLCC. Rotiboy mengumumkan penutupan cawangan ikoniknya di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) buat selama-lamanya bermula 8 September depan.
Dalam satu kenyataan rasmi di Instagram, Rotiboy mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan setia yang telah memberikan sokongan kepada jenama itu sejak lebih 20 tahun yang lalu.
Baca Juga:
- Lelaki Ini Cuba MRT Baru Hari Ini, Dan Ini Apa Dia Dapat
- Kereta Hilang Selepas Guna Parkir Valet Di Suria KLCC
- Netizen Geram Ejen Hartanah Jual Rumah Di Nilai ‘Claim’ Berhampiran KLCC
“Kepada peminat dan penyokong Rotiboy, terima kasih atas sokongan anda menemani Rotiboy KLCC selama 21 tahun ini. Terima kasih kerana membenarkan kami menjadi sebahagian daripada pertumbuhan anda dari zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa.
“Kepada rakan sekerja di KLCC, terima kasih atas sumbangan dan pengorbanan saudara dan saudari buat 21 tahun ini. Sekarang sudah tiba masanya untuk saudara dan saudari menimba pengalaman baru di lokasi Rotiboy yang lain.
“Segala yang baik akan berakhir juga bagi membuka peluang untuk mencapai sesuatu yang lebih berprestasi dan lebih baik. Namun begitu, adalah dengan keberatan hati dan dukacitanya, kami mengumumkan bahawa cawangan di KLCC akan ditutup selama-lamanya dari 8 September 2024,” katanya.
Pelanggan setia terutamanya mereka yang bekerja di KLCC antara yang paling terasa dengan pengumuman tersebut.
“Terima kasih sebab selalu belanja bau percuma. Masa mula-mula buka dekat KLCC kedai Rotiboy betul-betul dekat pintu keluar menuju LRT. Kalau kita dalam tren sampai je stesen KLCC bila buka pintu, bau rotinya buat tak keruan. Indahnya masa tu,” Tulis Suziana Suhaimi.
Ramai yang turut meninggalkan komen bertanya mengapa Rotiboy tutup operasi sedangkan kedai roti tersebut antara yang sentiasa laris setiap hari di KLCC. Namun, netizen membuat andaian kenaikan kadar sewa kedai mungkin menjadi punca mereka terpaksa tutup operasinya di KLCC.
Dari sudut pandang puan Fieza di Facebook pula, beliau berkata terdapat pelbagai kemungkinan mengapa Rotiboy buat keputusan tutup operasi di KLCC. Kenaikan kos tidak sejajar dengan jualan (walaupun jualan laju) dilihat paling ‘kena’ dengan situasi mereka di KLCC. Apa pun, cawangan Rotiboy masih ada di banyak lokasi lain namun kenangan di KLCC pasti akan kekal buat selamanya.