Stesen TV kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini sedang berunding untuk mendapatkan hak penyiaran Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung di Qatar bermula minggu depan.

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Pengarah RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman menerusi satu ciapan di laman X.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Sabarlah.. tengah nego (berunding),” tulisnya ketika menjawab pertanyaan peminat mengenai siaran langsung perlawanan yang melibatkan skuad Harimau Malaya.

Sebelum ini, segelintir peminat bola sepak tempatan menyuarakan rasa tidak puas hati di laman sosial mengenai isu siaran langsung perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

Tidak semua penyokong mampu melanggan siaran berbayar untuk menonton perlawanan tersebut. Justeru itu, mereka bergantung kepada siaran percuma di saluran TV milik kerajaan untuk ditonton bersama ahli keluarga di rumah masing-masing.

Tidak kira dalam atau luar negara, setiap perlawanan melibatkan skuad kebangsaan sentiasa mahu ditonton oleh peminat bola sepak tanah air sekaligus menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.

Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Jabatan Belia Dan Sukan Negara (JSBN) sentiasa menyediakan skrin besar di lokasi terpilih untuk orang ramai menonton beramai-ramai sambil memberikan sokongan padu.

Inisiatif ini dilakukan oleh pihak kerajaan sekiranya terdapat perlawanan-perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan negara terutamanya dalam sukan bola sepak.

Malaysia akan memulakan kempen Piala Asia 2023 bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari dan Republik Korea di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024.