Pejuang kesedaran kanser dan pelari, Lim Shyang Guey dengan sokongan National Cancer Society of Malaysia (NCSM) secara rasmi akan melancarkan Run for Gold.
Ia merupakan inisiatif larian sejauh 2,200 kilometer merentasi Semenanjung Malaysia yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak sedang berjuang melawan kanser.
Larian ini juga akan menjadi komponen Torch Relay bagi Relay For Life Malaysia 2026 tahun ini dengan membawa semangat harapan dan solidariti dari satu komuniti ke komuniti lain sepanjang laluan tersebut.
Melalui perjalanan merentasi seluruh negara ini, inisiatif tersebut menyasarkan kutipan sebanyak RM600,000 bagi menyokong usaha kesedaran kanser kanak-kanak serta perkhidmatan penting untuk pesakit muda dan keluarga mereka.
Dana yang berjaya dikumpulkan juga akan disalurkan kepada NCSM, khususnya bagi menyokong perkhidmatan bantuan kanser kanak-kanak seperti Home of Hope, penjagaan psikososial dan program survivorship.
Ketika ini, NCSM menjalankan perkhidmatan tersebut di beberapa lokasi termasuk Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.

Larian ini akan bermula pada 28 Mac dari NCSM–MPPP Home of Hope yang terletak di Rose Avenue, Pulau Pinang.
Lim Shyang Guey akan memulakan perjalanan mengelilingi Semenanjung Malaysia, melalui kesemua 11 negeri dan wilayah persekutuan, sebelum kembali semula tepat pada masanya untuk menyambut ulang tahunnya yang ke-67 pada 22 Jun 2026.
Sepanjang perjalanan tersebut, pelari kelahiran Pulau Pinang itu merancang untuk menempuh kira-kira 2,200 kilometer, dengan jarak larian antara 25 hingga 35 kilometer setiap hari, selain hari rehat yang dijadualkan di antara perjalanan.
Berdasarkan kadar larian dan laluan yang dirancang, perjalanan ini dijangka mengambil masa sekitar 90 hari untuk diselesaikan.
Lebih daripada sekadar cabaran fizikal, larian ini membawa makna yang sangat peribadi buat Shyang Guey.
Impian Besar Lim Shyang Guey
Perjalanan ini pada asalnya merupakan impian dirancang bersama mendiang isterinya, Joo Lee yang meninggal dunia akibat kanser pada Ogos 2024 pada usia 63 tahun.
Pasangan itu sebelum ini bercita-cita untuk suatu hari nanti mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan berjalan kaki bersama.
“Perjalanan ini didorong oleh kasih sayang, kenangan, dan keinginan untuk membawa perubahan,” kata Shyang Guey.
“Saya dan isteri pernah bermimpi untuk mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan berjalan kaki.”
“Selepas kehilangannya akibat kanser, saya berasa terdorong untuk menyempurnakan perjalanan ini, bukan sahaja untuk kami, tetapi juga untuk kanak-kanak yang berani melawan kanser setiap hari,” tambah Lim Shyang Guey lagi.

“Di NCSM, kami amat tersentuh dengan komitmen luar biasa Lim yang menukar kehilangan peribadi menjadi satu kekuatan besar untuk melakukan kebaikan.”
“Run for Gold bukan sekadar cabaran ketahanan fizikal, tetapi juga satu perjalanan penuh harapan buat kanak-kanak dan keluarga yang terkesan akibat kanser.”
“Kami berbesar hati untuk menyokong Lim dalam usaha yang bermakna ini, dan dana yang dikumpulkan akan membantu memperkukuhkan perkhidmatan sokongan kanser kanak-kanak kami, termasuk Home of Hope, penjagaan psikososial serta program survivorship yang menyokong pesakit muda dan keluarga mereka sepanjang setiap peringkat perjalanan mereka,” kata Muralitharan Munisamy, Pengarah Urusan NCSM.
Sepanjang larian ini, Lim Shyang Guey merancang untuk kebanyakannya menginap di homestay, penginapan berkongsi, atau bersama hos tempatan, membolehkan beliau berhubung secara rapat dengan komuniti di sepanjang laluan.
Interaksi ini akan memberi peluang untuk menyampaikan mesej kesedaran tentang kanser sambil mendengar pengalaman individu dan keluarga yang terkesan oleh kanser.
Di bandar-bandar utama sepanjang laluan, acara penglibatan komuniti akan dianjurkan dengan kerjasama NCSM, para penyokong, penjaga, pesakit yang telah sembuh, serta komuniti setempat.
Inisiatif ini, yang dinamakan Run for Gold, diilhamkan daripada Reben Emas (Gold Ribbon), simbol universal untuk kesedaran kanser kanak-kanak. Reben emas melambangkan betapa berharganya kanak-kanak serta melambangkan keberanian, kekuatan, dan daya tahan pesakit muda dan keluarga mereka.
Perjalanan ini disokong oleh pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa termasuk IHH Healthcare, MCIS Life, Kobay Technology Berhad, ASICS, Exabytes, GARMIN, Aurelius Alor Setar, Kuantan dan Nilai, serta Salam Hospital Terengganu.
Syarikat-syarikat yang prinsip CSR mereka sejajar dengan tujuan ini digalakkan untuk berbincang tentang penyertaan mereka dengan Lim.
Orang awam juga dijemput untuk menyertai Lim di mana-mana sepanjang perjalanan bagi menyokong tujuan ini.
Bagi mereka yang ingin memberi impak berkekalan kepada kehidupan kanak-kanak yang terkesan oleh kanser, sumbangan melalui derma boleh dilakukan, yang akan digunakan untuk menyokong kanak-kanak dengan kanser dan keluarga mereka.