Kita semua tahu yang masalah merokok di Malaysia memang sangat membimbangkan semua pihak.
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, peratus perokok dalam kalangan dewasa ialah 21.3% dan ianya terdiri daripada kaum lelaki sebanyak 40.3%. Boleh dikatakan yang Malaysia merupakan antara negara yang paling ramai lelaki menghisap rokok!
Ini juga merupakan masalah utama dalam kalangan generasi muda yang berumur antara 13 hingga 17 tahun. Tidak dapat dinafikan, terdapat penurunan yang agak ketara dalam peratusan remaja yang merokok menggunakan rokok konvensional iaitu 13.8% pada tahun 2017 kepada 6.2% pada tahun 2022.
Akan tetapi, apa yang lebih membimbangkan pihak kerajaan ialah peningkatan yang drastik daripada 9.8% pada tahun 2017 kepada 14.9% pada tahun 2022, bagi penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan generasi muda masa kini.
Rokok Konvensional vs Rokok Elektronik!
Ketagihan rokok konvensional atau rokok elektronik memang merupakan masalah yang amat serius dan mengancam kehidupan masyarakat kita pada masa kini.
Ia secara tidak langsung memberikan kesan yang buruk kepada orang sekeliling kerana asap atau wap yang dihembuskan oleh perokok aktif juga boleh mengancam kesihatan orang lain.
Kami berpendapat pihak yang bertanggungjawab harus melaksanakan kempen advokasi tentang pencegahan merokok, kawalan terhadap produk merokok dan mewujudkan undang-undang berkaitan rokok bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya merokok.
Anda tahu tak di Malaysia, kawalan terhadap produk-produk tembakau ini dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) sejak tahun 2004 lagi. Hebat kan!
Bukan setakat teknologi sahaja boleh berevolusi, produk merokok juga tidak ketinggalan untuk berevolusi dengan reka bentuk yang lebih canggih dan cara penggunaan yang mampu menarik minat si pengguna.
Malangnya, produk merokok alaf baru yang lebih dikenali sebagai rokok elektronik atau vape tidak dapat dikawal di bawah undang-undang sedia ada.
‘WUJUDKAN’ RUU Kawalan Produk Merokok SEKARANG!
Demi melindungi seluruh rakyat Malaysia terutama generasi muda, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merangka Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok yang lebih komprehensif untuk mengawal semua jenis produk merokok.
RUU ini merupakan langkah yang penting dalam mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat dan bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok.
Bukan setakat itu sahaja, RUU ini juga amat penting kerana ia merangkumi satu peruntukan yang dikenali sebagai peruntukan Generasi Penamat Rokok.
Mesti anda tertanya-tanya apa itu Generasi Penamat Rokok kan?
Pelaksanaan Generasi Penamat Rokok ini merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh semua lapisan masyarakat dalam membendung masalah ketagihan merokok di Malaysia ini.
Cara ini akan memastikan semua generasi muda di Malaysia tidak lagi merokok sepanjang hayat mereka. Ia juga merupakan satu langkah yang efektif dan mampu mengurangkan kos rawatan yang terpaksa ditanggung untuk merawat penyakit-penyakit yang berbahaya akibat tabiat merokok.
Jom berganding bahu untuk selamatkan generasi muda!
Bagi pendapat kami, penggunaan rokok elektronik atau vape ni harus dicegah sebelum terlambat bak pepatah ‘mencegah lebih baik daripada merawat’.
Produk-produk merokok ini mampu memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan seseorang itu dan ianya sudah dibuktikan dengan pelbagai penyelidikan yang dilakukan baik di Malaysia atau pun luar negara.
Kami nak tanya, adakah anda nak tunggu sehingga sesuatu yang tidak diingini berlaku di kalangan pengguna rokok elektronik baru nak bertindak? Ketika itu nasi sudah menjadi bubur!
Percaya atau tidak, jika kita tak cegah sekarang, budaya ini pasti akan menjadi trend yang susah dibendung.
Jadi tunggu apa lagi, mari berganding bahu untuk menjaga generasi muda yang akan datang supaya menjadi generasi yang lebih baik dari sekarang. Jika RUU Kawalan Produk Merokok dan peruntukan GEG diluluskan dengan kadar segera, kami yakin kita mampu bebas dari masalah ini selamanya.
Utamakan kesihatan, ingat orang yang tersayang!
Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman web rasmi KKM atau ke laman Facebook mereka.