Pemain tengah Melbourne Victory iaitu Ryan Teague memutuskan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Australia di peringkat antarabangsa berbanding China atau Malaysia.

Teague tersenarai dalam skuad Socceroos dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 dimana beliau hanya memanaskan bangku simpanan ketika Australia menewaskan Indonesia 5-1.

Sejak akhir-akhir ini, Teague yang beraksi di Eropah sebelum ini menjadi rebutan yang mana tiga negara mahu mendapatkan khidmatnya.

Ryan Teague Pilih Australia

Ryan Teague
Ryan Teague. Sumber Gambar: ESPN

“Mereka (FA China) menghubungi saya. Saya tidak begitu suka terlibat dalam perbualan itu, jadi saya meminta kepada ejen saya untuk menguruskannya. Tetapi saya sangat jelas sejak permulaan karier bola sepak saya bahawa matlamat saya adalah bermain untuk Socceroos.

“Saya bangga dengan latar belakang Cina saya dan budaya saya di sana. Tetapi segala-galanya dalam hidup saya, (bola sepak Australia) adalah yang saya tahu, jadi saya sangat gembira berada di sini bersama Socceroos,” katanya kepada ESPN.

Bekas kapten skuad  B-17 tahun Australia itu turut mengesahkan kepada ESPN bahawa dia juga telah menarik minat dari Malaysia dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Ryan Teague
Ryan Teague. Sumber Gambar: Goal.com

“Itu sesuatu yang saya baru tahu saya mempunyai warisan Malaysia. Sebelumnya saya tidak tahu mengenai perkara tersebut jadi itu baru kepada saya.

“FA Malaysia datang kepada saya. Akan tetapi, sekali lagi, itu hanya melalui ejen saya. Saya cuba untuk menjauhkan diri daripada perkara itu,” tambahnya.

Sudah tentu, seperti yang dijangkakan, apabila berita mengenai potensi penambahan pemain baharu dalam pasukan Malaysia timbul, Teague juga mendapati dirinya menerima ratusan mesej di laman media sosial.

“Mereka (peminat Malaysia) telah menghantar mesej kepada saya juga!” kata Teague sambil ketawa.