Legenda bola sepak negara, Safee Sali, mendedahkan beliau pernah melalui detik paling sukar dalam hidup sehingga hampir kehilangan segala-galanya selepas bersara daripada bola sepak profesional.
Bekas penyerang Harimau Malaya berusia 42 tahun itu mengakui beliau pernah bergelut dengan tekanan emosi, masalah kewangan dan kemurungan sehingga hidupnya menjadi tidak menentu. Safee berkata ketika itu beliau berasa seperti tiada lagi arah tuju selepas kariernya di atas padang berakhir.
Menurut penjaring terbaik Piala AFF 2010 itu, beliau pernah berada pada tahap paling rendah dalam kehidupan, namun sokongan keluarga, rakan-rakan serta keinginannya untuk bangkit semula membantunya keluar daripada fasa tersebut.
Pengalaman itu turut mengajarnya bahawa kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.
Kini Safee memilih untuk berkongsi kisah tersebut bagi memberi kesedaran bahawa sesiapa sahaja boleh berdepan situasi sama, termasuk atlet profesional. Beliau berharap lebih ramai individu tidak takut mendapatkan bantuan apabila berdepan tekanan hidup.
Safee Sali menulis: “Kisah sebenar, cerita di sebalik pintu.
“Sudah berjuang dan membawa kejayaan untuk negara.
“Ramai yang melihat kehidupan saya hari ini dan menganggap semuanya mudah. Mereka nampak saya tersenyum, bekerja, membina semula kerjaya dan keluarga.
“Tetapi mereka tidak tahu perjalanan yang saya lalui untuk sampai ke tahap ini.
“Kalau nak cerita semuanya lah kan, kalau bukan kerana isteri saya sekarang, Intan, mungkin saya tidak akan menjadi insan yang saya ada hari ini.
“Dia hadir ketika saya berada dalam keadaan yang paling lemah. Dia tidak melihat nama, populariti atau apa yang saya pernah miliki. Dia melihat seorang lelaki yang sedang cuba bangkit semula daripada episod hidup yang sangat sukar.
“Ada satu masa tu dalam hidup saya di mana saya benar-benar kehilangan arah.
“Selepas melalui persaraan, keadaan kewangan saya sangat teruk.
“Saya terpaksa bermula semula hampir dari kosong. Saya selalu mengibaratkan keadaan saya ketika itu sebagai seorang lelaki yang hanya tinggal spender je.
“Apa yang saya bina bertahun-tahun terasa seperti hilang dalam sekelip mata apabila semua asset di ambil sebegitu sahaja oleh bekas pasangan yang mata duitan. Semua hasil kerja bolasepak saya habis dikebas.
“Walaupun begitu, saya memilih untuk tidak respon.
“Saya tidak menjawab setiap dakwaan, tidak membalas setiap cerita dan tidak membuka segala yang berlaku kepada umum.
“Saya terus bekerja, mencari rezeki dan membina semula kehidupan sedikit demi sedikit.
“Sebab itu hari ini saya lebih menghargai sebuah keluarga yang dibina atas kepercayaan, keikhlasan dan saling menyokong.
“Apa yang berlaku pada masa lalu telah mengajar saya banyak perkara, tetapi saya memilih untuk melihatnya sebagai pengajaran yang membentuk siapa diri saya hari ini.
“Semuanya kat sini hanya untuk saya menceritakan pengalaman hidup saya sendiri dan perjalanan panjang yang membawa saya daripada saat paling gelap kepada kehidupan yang lebih tenang dan lebih bermakna bersama keluarga yang saya miliki hari ini.”
#NSTsports Former national striker Safee Sali has opened up about his post-retirement financial and emotional struggles, revealing he had to rebuild his life from "almost nothing'.
Read more: https://t.co/a62XR5aM8q pic.twitter.com/rRNiUozYH9
— New Straits Times (@NST_Online) July 26, 2026
Safee menamatkan karier profesionalnya pada 2023 selepas lebih dua dekad beraksi, mengumpul 76 penampilan bersama Harimau Malaya dan menjaringkan 23 gol antarabangsa. Beliau kekal dikenang sebagai wira utama yang membantu Malaysia menjuarai Piala AFF 2010.