Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali bersetuju sekiranya skuad Harimau Malaya dibarisi oleh pemain warisan yang beraksi di liga luar negara.

Safee berkata demikian ketika ditanya mengenai desakan yang dibuat terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar mendapatkan khidmat pemain warisan atau kacukan bagi meningkatkan kualiti pasukan negara.

Baca Juga:

“Saya setuju tapi dengan syarat pemain yang diambil perlu usia muda, bukan pemain yang boleh beraksi dengan pasukan negara dalam jangka masa yang singkat.

“Bagi saya, kalau khidmat mereka diambil dari awal, maka mereka boleh membarisi pasukan negara dalam jangka masa panjang. Mereka boleh beraksi dengan skuad B-23 tahun dan juga pasukan senior lebih lama.

“Saya setuju sekiranya pemain yang diambil boleh membatu pasukan negara. Janganlah ambil pemain yang berada di hujung karier. Itu tidak membantu langsung,” kata Safee kepada Vocket FC yang hadir dalam majlis pelancaran Liga Malaysia di Petaling Jaya baru-baru ini.

Ferdy Druijf belanda
Sumber Gambar: Transfermarkt

Sebelum ini, Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan pihaknya terbuka sekiranya ada pemain kacukan yang mahu beraksi bersama Malaysia.

“Salah seorang Exco kami iaitu Christopher Raj ada berhubung dengan pemain warisan tetapi belum ada perkembangan lanjut. Pemain yang mahu beraksi mestilah berkualiti.

“Yang pertama, kita kena pastikan pemain itu mestilah ada kaitan dengan Malaysia. Yang kedua, adakah dia berminat nak main dengan kita? Kalau dia tak minat, maka tak bolehlah,” kata presiden FAM itu.

Desakan untuk mendapatkan khidmat pemain kacukan timbul selepas beberapa akaun di laman media sosial mendedahkan terdapat beberapa pemain yang beraksi di Eropah memiliki kaitan dengan Malaysia.

Antara pemain yang berpotensi untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya ialah Ferdy Druijf dimana pemain ini berketinggian 190 sentimeter dan mempunyai nilai pasaran sebesar €1 Juta atau sekitar RM5.3 Juta serta memiliki rekod jaringan memukau dengan 112 gol dalam 266 penampilan sepanjang kariernya menurut statistik Transfermarkt.

Beliau juga berpengalaman luas di pentas bola sepak antarabangsa kerana pernah beraksi bersama skuad Belanda B-20, B-18 dan B-17.