Bekas pemain skuad kebangsaan, Safee Sali menyokong tindakan ketua pasukan KL City, Paulo Josue yang mendedahkan masalah tunggakan gaji yang sedang dialami oleh skuad ibu kota itu ketika ini.
Menerusi laman Instagram miliknya, Safee menggesa agar pihak majikan dan juga badan bola sepak dalam negara mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah yang berlaku dan memberikan pemain hak yang mereka sepatutnya dapatkan.
Baca Juga:
- Peminat Geli Hati Safee Sali Jadikan Nelo Vingada Sebagai Rujukan
- Safee Sali Setuju Pemain Warisan Barisi Skuad Kebangsaan
- Safee Sali Kecam Kakak Sendiri Sebagai Lebih Sudu Daripada Kuah
“Tujuh bulan gaji tak berbayar, Paulo Josue akhirnya bersuara! Bila kami bersuara dikatakan mahu menjatuhkan atau memburukkan imej bola sepak sendiri, tapi bila jadi kes seperti ini, siapa yang mahu dipersalahkan?
“Kami perhatikan dan lihat sahaja apa yang badan induk lakukan. Sila pantau dan buat sesuatu yang lebih proaktif dim menangani bab ini. Banyak lagi kelab yg gagal dalam bab “Gaji”.
“Saya sudah tidak bermain dalam liga, tetapi semangat saya dengan sukan ini tidak akan pudar. Saya tahu perit jerih setiap pemain. Ambil tanggungjawab atau tinggalkan sukan ini. Dalam hidup kita sentiasa ada pilihan,” Tulis Safee Sali.
Ketika membuat pendedahan mengenai masalah yang dialami, pemain naturalisasi itu menegaskan kali terakhir beliau menerima gaji ialah pada bulan Disember tahun lalu dan bukan beliau saja yang berdepan dengan kesukaran dimana rakan sepasukan turut berdepan isu sama.
“Ada pemain KL City mengalami tunggakan gaji sejak Mac lalu namun situasi terbabit tidaklah seteruk saya kerana kali terakhir dibayar pada Disember tahun lalu.
“Ada yang mengatakan KL City hanya berhutang dua bulan saja. Itu adalah bohong dan boleh berjumpa atau bertanya saya untuk dapatkan kepastian.
“Tanyalah pemain lain sama ada gaji mereka dibayar penuh. Saya rasa perkara itu tidak berlaku,” katanya menurut laporan Harian Metro.