Seorang astrofizik terkemuka dari Harvard telah mendedahkan bukti baharu yang mendakwa objek misteri yang sedang meluncur ke arah Bumi pada Disember ini sebenarnya merupakan sebuah kapal angkasa makhluk asing.
Memetik laporan Daily Mail, Profesor Avi Loeb bersama pasukannya mendapati bahawa objek yang disangka komet dan dikenali sebagai 3I/ATLAS itu berada pada laluan yang sangat luar biasa.
Baca Juga:
- Hilang Kawalan Di Orbit, Serpihan Roket Angkasa China Bakal Terhempas Ke Bumi

- Kolinda Grabar Kitarovic, Puan Presiden Yang Menarik Perhatian Dunia

- SPM Gred 3 Bukan Penamat Masa Depan. Ini Yang Telah Aku Lalui Hingga Berjaya

Ia akan menghampiri tiga planet berbeza: Zuhrah, Marikh, dan Musytari.

Loeb menjelaskan bahawa laluan 3I/ATLAS adalah begitu luar biasa sehingga kebarangkalian batu angkasa semula jadi secara rawak mengikuti trajektori tersebut adalah kurang daripada 0.005 peratus.
Berdasarkan penemuan itu, Loeb yang juga taksub kewujudan UFO telah membuat kesimpulan bahawa 3I/ATLAS mungkin sebenarnya adalah sebuah prob makhluk asing yang dihantar ke sistem suria ini oleh satu bentuk kecerdasan yang tidak dikenali.
Lebih mengejutkan, Loeb turut menyatakan bahawa kapal angkasa seperti itu dan makhluk yang mengawalnya mungkin mempunyai salah satu daripada dua niat: sama ada tidak berbahaya, atau sebaliknya, bersifat bermusuhan.

“Sekiranya hipotesis ini terbukti benar, kesannya mungkin amat buruk bagi manusia, dan berkemungkinan memerlukan tindakan pertahanan (walaupun ia mungkin tidak berkesan),” menurut amaran Loeb dan pasukannya dalam kajian terbaru mereka.
Teori para penyelidik ini berpunca daripada satu konsep sains yang agak suram dikenali sebagai Dark Forest Hypothesis; iaitu andaian bahawa tamadun makhluk cerdas lain di galaksi ini bersifat bermusuhan dan ia cenderung menganggap manusia sebagai ancaman yang perlu dimusnahkan.

Bukti tambahan bumi bakal berdepan bahaya
Loeb bersama dua rakan penyelidik — Adam Drowl dan Adam Hibberd dari organisasi penyelidikan angkasa Initiative for Interstellar Studies — telah menemui beberapa bukti tambahan yang menunjukkan 3I/ATLAS mungkin bukan komet biasa.
Pertama sekali, saiznya yang sangat besar — dianggarkan antara tujuh hingga 12 batu panjang.
Menurut para saintis, objek antara bintang sebesar itu sepatutnya amat jarang ditemui di alam semesta, sekali gus menjadikan kehadiran 3I/ATLAS dalam sistem suria kita sebagai sesuatu yang sangat tidak dijangka dari segi statistik.
Kedua, kajian Loeb turut mendedahkan bahawa 3I/ATLAS tidak mempunyai coma — iaitu awan gas dan habuk yang biasanya mengelilingi komet.
Pasukan tersebut menjelaskan bahawa ketiadaan coma ini mencadangkan objek gergasi ini mungkin bukan komet sebenar, kerana komet sepatutnya mempunyai teras yang lebih kecil dan datang daripada populasi besar objek antara bintang yang serupa.
Kebarangkalian satu dalam 20,000 untuk melintasi rapat beberapa planet dalam tahun yang sama, Loeb menyatakan bahawa kemungkinan objek yang sedang menuju ke arah Bumi itu adalah buatan (artificial) tidak boleh diabaikan begitu sahaja.
“Apabila diteliti dari sudut pandang yang terbuka dan bebas daripada prasangka, penyelidikan ini telah mendedahkan banyak petunjuk yang meyakinkan tentang kemungkinan bahawa 3I/ATLAS bersifat teknologi,” jelas Loeb.
Sama ada ia sebuah komet atau kapal angkasa makhluk asing, 3I/ATLAS dijangka akan melintasi Bumi pada 17 Disember ini, dengan kelajuan melebihi 41 batu sesaat — iaitu kira-kira 150,000 batu sejam.
Berdasarkan trajektori semasanya, 3I/ATLAS dijangka akan menghampiri Bumi sehingga jarak 2.4 unit astronomi — bersamaan kira-kira 223 juta batu.