Nama Salim Samion mungkin tidak begitu menonjol dalam kalangan peminat badminton tempatan, namun figura ini sebenarnya antara jurulatih kelahiran Malaysia yang membawa nama negara jauh di persada antarabangsa.
Anak kelahiran Ipoh, Perak itu sebelum ini berperanan besar dalam mencungkil bakat muda di Thailand.
Baca Juga:
- Senarai Terkini 2025: Jurulatih Badminton Malaysia Yang Sedang Berbakti Di Luar Negara

- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton

- Keputusan Meragukan Pengadil: BAM Hantar Aduan Rasmi Kepada BWF

Dengan perkembangan positif dijelmakan Salim dalam membimbing skuad remaja Thailand sejak 2021, kini beliau telah diberikan tanggungjawab lebih besar oleh Persatuan Badminton Thailand (BAT).
Beliau baharu sahaja dinaikkan pangkat sebagai jurulatih perseorangan lelaki dan wanita skuad kebangsaan Thailand.
Ia merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kepakaran Salim dalam melahirkan pemain bertaraf dunia buat negara jiran tersebut.

Tugas Baharu Buat Salim Samion
Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Salim meluahkan rasa gembiranya atas tanggungjawab baharu itu.
“Pertama sekali syukur Alhamdullilah dan ini adalah satu peluang yang perlu saya gunakan dengan sebaik mungkin.”
“Kita semua tahu badminton pada situasi sekarang begitu kompetitif. Jadi, mendapat peluang untuk mengendalikan skuad kebangsaan sebagai jurulatih perseorangan ini adalah satu tanggungjawab yang besar kerana di mana-mana sahaja semua orang akan melihat perkembangan pemain melalui keputusan.”
“Lebih- lebih lagi apabila kita jurulatih dari luar negara,” ujar Salim bercakap kepada wakil The Vocket.
“Saya bermula di Thailand sudah hampir sudah 4 tahun iaitu di tahun pertama saya diberi tanggungjawab untuk melatih pemain-pemain national remaja yang mana datangnya daripada kelab.”
“Saya menjadi jurulatih selama setahun untuk pemain-pemain tersebut yang layak ke Kejohanan Badminton Remaja Dunia dan sebagainya serta membentuk pemain – pemain remaja Thailand.”
“Tetapi kerana mereka melihat perkembangan yang positif dan dapat lihat kredibiliti saya sebagai seorang yang boleh membawa tanggungjawab, mereka melantik saya pada tahun kedua sebagai ketua jurulatih untuk pemain-pemain remaja di sini. Terutama di dalam kelab ‘Spirit’ ini, yang berada dibawah pengawasan BAT.”
“Selepas hampir dua tahun menggalas tugasan tersebut saya terus mendapat kepercayaan Setiausaha Agung BAT, Encik Udomsak Chuenkrut.”
“Beliau yang banyak menghadirkan perubahan-perubahan positif dalam BAT selepas mengambil alih tugasan tersebut selepas Madam Khunying Patama Leeswadtrakul dipilih sebagai Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF).”
“Beliau memberikan saya kebebasan untuk latihan, memilih pemain, mengikut corak rejim latihan diperlukan, merekrut pembantu-pembantu jurulatih dan juga memberikan ruang kepada saya untuk menerapkan sains sukan yang saya perlukan.”
“Sehubungan dengan itu, dia langsung tidak mengganggu semua tugasan saya, malah menyokong seratus peratus segala idea saya,” ujar beliau lagi.

“Udomsak memberikan ruang yang baik kepada saya dan para pemain untuk membuktikan kemampuan kerana sedar ia adalah melibatkan proses pembelajaran panjang.
“Tugasan baharu saya di sini adalah untuk mengkoordinasi barisan pemain-pemain elit Thailand. Pemain yang dimiliki pada ketika ini dalam BAT ialah Supanida Kathetong (ranking ke-12 perseorangan wanita) dan Pornpicha Choeikeewong (ranking ke-28).
“Ini adalah pemain elit di sektor perseorangan wanita dan kita ada beberapa perseorangan lelaki dan juga pemain-pemain perseorangan wanita perempuan yang rata-rata rankingnya bawah 80.”
“Saya akan pantau latihan mereka dan akan membuat program latihan mereka dan juga melatih mereka untuk meningkatkan lagi prestasi semua pemain ini.”
“Selain itu, satu lagi tanggungjawab besar dipikul oleh saya adalah untuk menjaga barisan pelapis kerana ia adalah perancangan jangka masa panjang diilhamkan Setiausaha Agung dalam usaha menyediakan pelapis mantap.”
“Jadi, kita ada pemain-pemain pelapis yang berumur antara 15 -20 tahun sekarang dan insya Allah kita usahakan untuk sekurang-kurangnya dua daripada mereka mendapat podium di Kejohanan Remaja Asia, Remaja Dunia dan juga peringkat antarabangsa untuk pemain-pemain elit.

Salim Samion Kaya Dengan Pengalaman
Salim Samion merupakan jurulatih badminton berpengalaman yang pernah berguru di bawah Datuk Misbun Sidek sebelum mengembangkan karier ke peringkat antarabangsa sejak awal 2000-an.
Beliau pernah melatih skuad remaja Finland dan Denmark, di mana pasukan bimbingannya, Denmark meraih kejayaan besar termasuk pingat emas Kejohanan Remaja Dunia 2010. Kejayaan itu menjadikan Salim antara jurulatih Asia yang dihormati di Eropah.
Selepas meninggalkan Denmark, beliau mencipta sejarah bersama Norway apabila membantu Sara Blengsli Kvarno menjadi pemain wanita pertama negara itu layak ke Sukan Olimpik 2012. Salim kemudian turut berkhidmat di Ukraine dan Jepun.