Pada hari semalam netizen meluahkan rasa kurang senang dan mengkritik Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh kerana bergambar dengan bintang badminton Thailand dan memuat naiknya di laman Instagram.
Beliau yang masih berada di Paris bersama-sama kontijen Olimpik negara tampil berkongsi sebab-sebab dia bergambar dengan Kunlavut Vitidsran yang menewaskan bintang negara, Lee Zii Jia.
Baca Juga:
- Hannah Yeoh Yakin Kepakaran FAM Cari Pengganti Terbaik Untuk Kim Pan Gon
- Hannah Yeoh: Reka Bentuk Pakaian Rasmi Ke Sukan Olimpik Bukan Bidang Kuasa KBS
- Hannah Yeoh: Surat Layang Satu Perkara Biasa
Menurut Hannah, tindakannya itu selari dengan nilai-nilai utama yang ada pada di sebalik temasya sukan Olimpik.
“Sebab pertama; fahami nilai Olimpik. Hormat-menghormati dan persahabatan. Itu titik permulaan yang sangat asas,” kata Hannah.
Menerusi laman sesawang rasmi Olimpik, sukan yang berlangsung 4 tahun sekali itu mengetengahkan tiga nilai utama; kecemerlangan, hormat-menghormati dan persahabatan.
“Sebab kedua; apabila pertandingan telah tamat, selepas menerima pingat anda, anda meraikan pemenang. Semangat kesukanan adalah tentang menerima kekalahan apabila semuanya adil dan dapat mengakui pesaing anda dengan cara penuh hormat.
“Sebab ketiga; saya bukan sahaja Menteri Sukan. Saya juga Menteri Belia. Ini bukan tentang memenangi pingat. Saya di sini untuk menyemai budaya sukan yang sihat untuk belia kita.
“Kita bukan sore loser. Tiada yang tidak sensitif untuk mengakui kekuatan pesaing kita selepas pertandingan. Saya melihat betapa tenangnya Kunlavut Vitidsran (baru berusia 23 tahun dan menduduki tempat ke-8 ketika itu) ketika dia menewaskan pemain nombor satu dunia, Shi Yuqi dari China 21-12, 21-10.
“Anak-anak muda, beranilah bercakap sesuatu perkara yang baik. Jika anda duduk di sekeliling takut komen media sosial, anda hanya membenarkan peluang di hadapan mata terlepas begitu sahaja.
“Sukan mengajar kita pelajaran yang tidak ternilai tentang kehidupan dan inilah sebabnya ibu bapa mesti menggalakkan anak-anak bersukan. Mereka menjadi lebih kuat apabila mereka mengamalkan semangat kesukanan yang baik,” jelas Hannah.
Tambahnya lagi, beliau mempraktikkan ‘sebab ketiga’ itu dengan mengucapkan tahniah kepada dua jurulatih Malaysia (Tan Kim Her dan Jeremy Gan) atas kemenangan anak didik mereka yang merupakan atlet Jepun.
“Saya masih di point 3 untuk memaparkan ianya bukan fangirl Kunlavut. Saya masih konsisten mempraktikkan semangat kesukanan yang tinggi dan saya mewakili Malaysia — jadilah bermaruah walaupun kita kalah.
“Kepada negara jiran ASEAN, Thailand, saya ingin mengucapkan tahniah sekali! Kita sepatutnya saling mengangkat antara satu sama lain,” jelas Hannah Yeoh berhubung isu tidak sensitif apabila bergambar dengan bintang badminton Thailand itu.
Terdahulu, Kunlavut Vitidsran menyekat kemaraan Lee Zii Jia dalam aksi separuh akhir Ahad lalu, dengan kemenangan dua set 21-14, 21-15 untuk menempah tiket ke penentuan pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun beliau perlu akur dengan kehebatan Viktor Axelsen dari Denmark apabila tewas 21-11, 21-11 pada perlawanan akhir.