Seorang rakan kepada pempengaruh yang hilang, Muhammad Syahmi Mansur, 30, meluahkan rasa kecewa selepas mengetahui pempengaruh yang cuba diselamatkannya sebenarnya berada di Thailand.
“Saya kecewa sebab muka saya dah viral (tular) satu Malaysia kerana berenang dan panjat kereta nak selamat dia. Tiba-tiba lain pula jadinya.”
Memetik Berita Harian, sebaik Syahmi mengetahui perkara sebenar, dia bersama rakan lain berasa kecewa. Ini kerana semua usaha dilakukan dengan ikhlas akhirnya dibalas dengan tindakan yang semua tidak pernah jangkakan.
“Mana saya nak letak muka? Semua dah kenal saya, nak pergi kerja pun takut. Saya bantu dengan ikhlas sampai ambil cuti semata-mata nak pergi mencarinya di sana (Muar).
“Semua rakan yang bantu mencarinya rasa kecewa. Tak sangka dia buat macam tu pada kami dan saya pun tak tahu apa motif dia.
“Orang dah kenal saya kerana berenang di sungai itu. Saya malu nak keluar rumah, sampai tahap ini sekali saya dipermainkan.
“Sampai sekarang saya terbayang yang saya berenang dalam sungai itu. Dalam hati saya cakap “kau kenapa buat aku macam ni?” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Tambahnya lagi, dia dan ahli keluarga sepatutnya mahu berjumpa pengamal perubatan di Segamat sebagai ikhtiar terakhir.
“Kami sepatutnya nak ke kawasan kejadian nak cuba carilah mana tahu ada terjumpa atau apa-apalah. Tapi, bila dapat tahu perkara ini, mana saya nak letak muka dengan keluarga saya.
“Lagipun, keluarga saya pun ada buat solat hajat dengan harapan dia ditemukan segera, rupa-rupanya ada sesuatu yang kami langsung tak jangka berlaku.
“Kalau dia ada masalah sekalipun, biarlah kita bantu, kata ramai kawan. Masalah tu mungkin kita boleh duduk semeja berbincang macam mana sekali pun bukan dengan cara macam ini,” katanya.
Sementara adik pempengaruh yang disyaki bersubahat langsung tidak memberi sebarang petunjuk sepanjang operasi mencari dan menyelamat.
“Kami datang dari serata tempat lebih 20 orang, tapi adik dia tak bagi apa-apa hint (petunjuk). Inilah yang buat kami marah dan kecewa,” katanya.