Pemain tengah Jepun, Kaishu Sano melontarkan penilaian yang cukup jujur terhadap penyingkiran skuad Samurai Biru daripada Piala Dunia 2026.
Penjaring gol pembukaan pada pertemuan menentang Brazil pada awal pagi tadi itu menegaskan bahawa mempamerkan aksi yang baik tidak bermakna jika gagal meraih kemenangan.
Walaupun memberikan tentangan sengit sehingga memaksa gergasi Amerika Selatan, Brazil, berhempas-pulas sepanjang perlawanan, perjalanan Jepun di Piala Dunia 2026 akhirnya berakhir dengan kekecewaan buat skuad kendalian Hajime Moriyasu.
Jepun kelihatan hampir mencatat keputusan bersejarah sebelum Gabriel Martinelli menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan buat Selecao.
Sano Kecewa Lihat Kekalahan Seperti Itu
Kekalahan itu amat menyakitkan memandangkan Jepun telah mendahului perlawanan dan kelihatan selesa sepanjang tempoh yang panjang dalam aksi kalah mati tersebut.
“Saya rasa keputusan adalah segalanya dan saya sangat kecewa kerana pasukan ini tidak sepatutnya berakhir seperti ini,” ujar Sano menurut sumber laporan Goal.
“Tetapi tewas seperti itu pada saat-saat akhir membuatkan saya rasa kami tidak cukup bagus, walaupun apa yang kami lakukan sebenarnya bukanlah salah.”
“Saya rasa kami boleh berbangga dengan apa yang telah kami bina.”
Dengan kekalahan 1-2 yang cukup perit ini, Jepun gagal menyamai pencapaian terbaik mereka di Piala Dunia iaitu mara ke pusingan 16, satu pencapaian yang pernah mereka capai sebanyak empat kali iaitu pada edisi 2002, 2010, 2018 dan 2022.