Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap pihak yang berminat mengambil alih pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC bukanlah seorang ‘scammer’ dan tidak mempunyai sebarang muslihat.

Memetik laporan Berita Harian, beliau mahu KDA FC diuruskan dengan baik oleh pemilik baharu dan masalah tunggakan gaji dapat diselesaikan.

Baca Juga:

“Kalau dia ada kemampuan untuk selesai masalah silakan, kita harap dan berdoa dia ada kemampuan, tapi jangan ‘scam’ (tipu). Belum apa-apa lagi sudah buat kenyataan macam-macam.

“Macam scammer tak bagus lah. Dia tak ada sangkut paut dengan kita (KFA), dia tak berurusan dengan kita dan dia tak perlu kebenaran saya atau EXCO Sukan (untuk ambil alih KDA),” katanya.

Sanusi Harap Pemilik Baharu KDA FC Bukan 'Scammer'

Sebelum ini, DSAT Group Sdn Bhd melalui anak syarikatnya Mahsuri Medical Centre (MMC) di Jitra mengemukakan cadangan untuk mengambil alih KDA FC yang kini masih menanti pembeli yang bersesuaian terhadap keseluruhan kepentingan yang ditanggung kelab berkenaan.

Perkembangan itu merujuk kepada satu kenyataan media daripada pihak MMC atas arahan daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Azizul Tandek yang menyatakan minat pengambilalihan 100 peratus saham KDA FC serta liabiliti kelab berkenaan.

KDA FC dalam satu kenyataan rasmi mengatakan mereka telah menghantar maklum balas kepada tawaran pihak MMC secara serahan tangan sekitar jam 4.45 petang pada 7 November 2024.

Bagaimanapun, status penerimaan tawaran tersebut masih kekal misteri dan KDA FC dijangka akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat.