Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyelaraskan semula strategi pengambilan pendidik dengan menyasarkan pelantikan 3,150 guru secara Kontrak Perkhidmatan (COS) bagi sesi persekolahan akan datang.

Langkah ini diambil berikutan jumlah pendaftaran murid berusia enam tahun untuk kemasukan Tahun 1 bagi sesi 2027 mencatatkan bilangan yang rendah, petik Free Malaysia Today.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh mendedahkan bahawa pendaftaran bagi kohort berusia enam tahun setakat ini hanya merekodkan 73,386 permohonan, berbanding unjuran asal seramai 400,000 orang.

Perkembangan tersebut menyaksikan kementerian mengecilkan sasaran pengambilan berbanding keperluan unjuran asal yang dianggarkan mencecah sehingga 20,000 orang guru.

“Mengambil kira status semasa pendaftaran kohort enam tahun yang rendah ini, KPM menyelaraskan keperluan semasa dengan membuat pengambilan 3,150 guru COS bagi menampung keperluan segera di sekolah rendah.

“Pengambilan khas ini bagaimanapun tidak akan menggantikan laluan profesional keguruan yang tetap menjadi pelan utama perancangan guru KPM,” jelas beliau semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan tersebut dikemukakan bagi menjawab pertanyaan daripada Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berhubung persiapan kementerian dalam mendepani kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun 1 pada 2027, serta mekanisme bagi memastikan guru sedia ada tidak terbeban dengan kemasukan tambahan tersebut.

Peningkatan Keseluruhan Enrolmen Murid

Memetik Free Malaysia Today lagi, Kah Woh memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan permohonan pendaftaran Tahun 1 bagi sesi 2027 kini mencecah 478,419 orang. Jumlah berkenaan merangkumi gabungan 73,386 murid daripada kohort enam tahun dan 405,033 murid daripada kohort tujuh tahun.

Secara keseluruhannya, angka tersebut menunjukkan peningkatan enrolmen sebanyak 12.07 peratus berbanding sesi pengajian Tahun 1 bagi sesi tahun 2026.