Pemain tengah Flamengo, Saul Niguez mendakwa bahawa bekas rakan sepasukannya di Atletico Madrid, Joao Felix gagal memaksimumkan potensi dirinya akibat kurangnya usaha dan kerja keras.

Saul menegaskan bahawa bakat dimiliki adalah ‘tidak bernilai’ tanpa etika kerja yang sepadan.

Baca Juga:

Malah, beliau turut mendedahkan bahawa ramai daripada rakan sepasukan mereka ketika di Atletico Madrid cuba untuk membantu Felix sewaktu pemain kelahiran Portugal itu bergelut mencari prestasi sebenar sejak meninggalkan Benfica pada 2019.

Joao Felix
Kredit Foto: AlNassr Saudi

Kini pemain berusia 25 tahun itu berkelana ke Arab Saudi dengan menyarung jersi Al-Nassr untuk bergandingan bersama Cristiano Ronaldo.

Melihatkan kepada perkembangan terkini itu, Saul tampil untuk memberikan pendapatnya tentang Felix.

Nasihat Saul Niguez Buat Joao Felix

“Bola sepak adalah permainan berpasukan. Dia mempunyai semua kualiti untuk menjadi seorang pemain yang luar biasa, tetapi tak kira sehebat mana pun anda, jika anda tidak bekerja keras, ia tetap tidak bermakna.”

“Saya pernah dengar satu kata-kata daripada Paco Jemez (bekas pemain skuad kebangsaan Sepanyol) yang berkata, ‘bakat tanpa kerja keras adalah tiada apa-apa’.”

“Ramai antara kami telah cuba membantu Joao, tetapi kalau seseorang itu sendiri tidak mahu… (tak boleh buat apa).,” ujar Saul menurut sumber laporan Goal.

Joao Felix
Kredit Foto: AlNassr Saudi

Menyertai Atletico pada 2019/20, Felix yang sebelum ini dilabel sebagai prospek besar bola sepak dunia tidak mampu memikul tanggungjawab tersebut.

Keadaan itu membuatkan beliau dipinjamkan ke Barcelona dan Chelsea dan kemudiannya berhijrah secara tetap ke Chelsea pada musim lalu tetapi dipinjamkan pula ke AC Milan.

Beberapa hari lalu seperti diketahui, Joao Felix memilih Al-Nassr sebagai destinasi baharunya.

 

Sumber