Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva memberi bayangan bahawa beliau sedia untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini, pemain kelahiran Brazil itu disebut sebagai salah satu pemain yang bakal menjalani proses naturalisasi berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik JDT iaitu Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor.
Baca Juga:
- Tunku Ismail Kongsi Struktur Baharu FAM
- CEO, Pemain Warisan Bakal Perkuatkan Skuad Harimau Malaya
- ‘Bak Bumi Dan Langit’ – Media Indonesia Bandingkan Shin Tae-yong Dan Peter Cklamovski
Selepas aksi menentang KL City, pemain berusia 33 tahun itu menegaskan beliau amat sayangkan Malaysia dan percaya Tunku Mahkota Ismail akan membuat keputusan yang baik untuk semua pihak.
“Saya sentiasa di sini kerana saya sentiasa berasakan ini adalah rumah saya. Saya sangat pasti bos (TMJ) akan mebuat keputusan yang bernas untuk kami. Saya mempercayainya dan sangat menyayangi negara ini,” katanya.
Selain Bergson, seorang lagi pemain iaitu Manuel Hidalgo turut berada dalam perancangan untuk dijadikan pemain naturalisasi negara.
“Bergson boleh dinaturalisasikan sebagai langkah jangka pendek selepas genap 5 tahun di Malaysia, Hidalgo juga untuk jangka panjang, dan dengan pemain lain yang sedia ada.”
“Pemain JDT semua sudah bersedia. Jurulatih dan pengarah sukan baharu itu sedang mengumpul data mengenai pemain Malaysia dalam Liga Super dan mereka di luar negara,” kata Tunku Ismail.
Melihat kepada rekod jaringan yang dimiliki penyerang JDT itu dalam saingan Liga Malaysia membuktikan beliau mempunyai peluang untuk menyinar bersama skuad kebangsaan andai dijadikan sebagai pemain naturalisasi.
Bergson membantu JDT memenangi semua kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia selain muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super pada musim 2022.
Beliau turut mencipta gandingan yang baik bersama pemain seperti Arif Aiman yang mana dua pemain ini boleh meningkatkan kualiti jentera serangan pasukan negara.