Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, mendedahkan bahawa Lionel Messi sebenarnya mampu beraksi sepanjang perlawanan dan terus menambah koleksi rekod peribadinya.

Namun, legenda berusia 39 tahun itu memilih untuk memberi peluang kepada rakan sepasukan lain merasai minit permainan. Selain itu, ia juga penting untuk pemain lain mendapatkan rentak permainan sebenar apabila mereka diperlukan kelak.

Pada aksi berdepan Jordan, Messi hanya masuk pada separuh masa kedua, sebagai pemain gantian.

Menurut Scaloni, keputusan tersebut membuktikan bahawa Messi sentiasa meletakkan kepentingan pasukan mengatasi pencapaian individu, walaupun namanya terus dikaitkan dengan pelbagai rekod dunia.

“Leo Messi boleh sahaja bermain sehingga tamat perlawanan dan menambah lagi legasinya, tetapi dia memilih untuk memberi peluang kepada rakan sepasukan mendapatkan minit permainan,” kata Scaloni.

Tambah beliau, Messi langsung tidak memikirkan tentang rekod yang sering diperkatakan oleh peminat dan media.

“Dia tidak memikirkan rekod yang orang bincangkan. Itu sudah cukup menggambarkan apa maknanya Argentina buat dirinya,” ujar Scaloni.

Sepanjang kariernya, Messi telah memenangi hampir semua trofi utama termasuk Piala Dunia, Copa America, Liga Juara-Juara Eropah dan lapan anugerah Ballon d’Or. Walaupun memiliki status sebagai antara pemain terbaik sepanjang zaman, beliau masih menampilkan sifat rendah diri serta mengutamakan kejayaan pasukan.

Kenyataan Scaloni itu turut mendapat pujian penyokong Argentina yang melihat tindakan Messi sebagai contoh kepimpinan sebenar. Ketika ramai pemain mengejar statistik dan rekod individu, Messi memilih untuk membantu membina keyakinan rakan-rakan sepasukannya, sekali gus mengukuhkan semangat skuad Albiceleste dalam memburu lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.

Messi bagaimanapun tetap berjaya mencipta rekod baharu. Dia kini menjadi pemain pertama mencetak gol dalam 7 aksi Piala Dunia berturut turut.

Sesuatu yang Messi sendiri tidak fikirkan ketika dia sedia untuk duduk di bangku simpanan demi rakan sepasukannya.