Ekonomi digital mungkin semakin berkembang, namun tanpa kepercayaan terhadap keselamatan teknologi, pertumbuhan itu berdepan satu cabaran besar.
Perkara itu antara yang dibincangkan dalam program pasca-M360 ASEAN menerusi topik Ekonomi Digital, Keselamatan Asas Kepercayaan, yang menampilkan Penasihat Kanan Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zurkarnain Mohd Yassin.

Menurut beliau, kepercayaan menjadi asas penting dalam pembangunan ekonomi digital, bukan sahaja daripada sudut pengguna, tetapi turut membabitkan pelabur, syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata, aspek keselamatan teknologi dan kerangka kawal selia boleh mempengaruhi keputusan pengguna untuk menerima pakai teknologi, selain menentukan keyakinan pelabur untuk menyalurkan modal.
“Kepercayaan itu dalam mana-mana aspek pun adalah teras kepada pembangunan ataupun perkembangan, tidak kira sama ada teknologi, penerimaan atau pelaburan,” katanya.
Kepercayaan digital tentukan penerimaan teknologi

Berdasarkan perbincangan itu, isu kepercayaan bukan sekadar berkaitan kemampuan sesebuah teknologi berfungsi.
Sebaliknya, pengguna dan industri turut mengambil kira persoalan keselamatan, termasuk risiko kebocoran data, ketirisan maklumat dan pendedahan rahsia perdagangan ketika menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
Bagi pelabur pula, keyakinan terhadap tadbir urus, kawal selia dan rangka kerja perundangan ekonomi digital turut menjadi antara perkara yang dipertimbangkan sebelum membuat keputusan pelaburan.
Pada masa sama, PKS sebagai antara pemacu ekonomi turut perlu yakin bahawa teknologi yang diterima pakai benar-benar selamat dan boleh dipercayai sebelum digunakan dalam operasi perniagaan.
Perkara itu semakin relevan ketika penggunaan 5G dan AI terus berkembang, terutama apabila teknologi berkenaan mula digunakan untuk automasi serta meningkatkan produktiviti.
Scammer manfaatkan sifat tergesa-gesa
Namun, cabaran terhadap kepercayaan digital bukan hanya datang daripada kelemahan teknologi.
Menurut Zurkarnain, faktor manusia turut memainkan peranan penting kerana scammer boleh memanipulasi emosi mangsa untuk membuat keputusan secara terburu-buru.
Beliau berkata, sifat tergesa-gesa sering dimanfaatkan scammer, sama ada menerusi panggilan telefon, e-mel perniagaan palsu atau kandungan yang dijana AI.
Antara kaedah yang semakin kompleks termasuk penyamaran identiti individu tertentu, termasuk CEO syarikat dan tokoh awam, menerusi kandungan atau video yang kelihatan meyakinkan.
Dalam menangani perkara itu, kempen Internet Selamat MCMC memberi penekanan kepada perubahan tingkah laku, bukan sekadar meningkatkan kesedaran.
Antara pendekatan yang disarankan adalah menahan diri sebelum bertindak, membuat semakan dan berbincang dengan orang dipercayai, terutama apabila melibatkan wang, pekerjaan, pelaburan atau hubungan.
Menurut Zurkarnain, sikap berhenti seketika sebelum bertindak boleh menjadi langkah penting untuk memutuskan modus operandi scammer.
“Restrain itu adalah satu killer switch yang membatalkan modus operandi scammer itu,” katanya.
Kerugian scam beri kesan kepada ekonomi
Lebih menarik, isu scam menurut beliau tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai masalah individu yang kehilangan wang.
Sebaliknya, kesannya boleh dilihat melalui lima lapisan ekonomi, iaitu isi rumah, perniagaan, sistem kewangan, ekonomi nasional dan keselamatan ekonomi.
Pada peringkat isi rumah, kehilangan wang boleh menjejaskan simpanan dan kewangan keluarga.
Bagi PKS pula, kerugian akibat penipuan seperti business email compromise boleh memberi kesan lebih besar kerana modal yang hilang sepatutnya digunakan untuk membayar gaji pekerja, membeli peralatan atau melabur dalam teknologi bagi meningkatkan produktiviti.
Kesan itu kemudian boleh berkembang kepada sistem kewangan dan ekonomi negara.
Zurkarnain turut merujuk kepada laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi 2025 yang merekodkan kerugian akibat penipuan sekitar RM2.97 bilion, sambil menjelaskan bahawa sindiket scam mempunyai rangkaian merentas negara.
Dalam konteks lebih luas, wang yang hilang akibat penipuan juga mewakili modal yang sepatutnya boleh digunakan untuk aktiviti ekonomi, pelaburan atau peningkatan pendapatan.
Justeru, ancaman scam bukan hanya persoalan keselamatan pengguna, tetapi turut mempunyai implikasi terhadap aliran modal dan ekonomi negara.
Teknologi maju perlu seiring dengan keselamatan
Dalam usaha membina ekonomi digital yang lebih berdaya tahan, Zurkarnain berkata pembangunan teknologi perlu bergerak seiring dengan aspek keselamatan siber, infrastruktur kritikal, transformasi digital dan pembangunan tenaga kerja.
Beliau turut melihat keperluan kepada intervensi yang dapat menggalakkan penerimaan teknologi, selain pembangunan keupayaan tenaga kerja supaya penggunaan AI dan teknologi digital dapat meningkatkan nilai pekerja.
Sebagai contoh, pekerja yang sebelum ini menjalankan tugas kemasukan data boleh dipertingkatkan kemahirannya untuk memainkan peranan lebih tinggi seperti analisis dasar dengan bantuan AI.
Pada akhirnya, pembangunan ekonomi digital bukan sekadar bergantung kepada rangkaian 5G, pusat data, AI atau peningkatan transaksi dalam talian.
Kepercayaan juga perlu dibina
Apabila pengguna yakin identiti, wang dan data mereka lebih selamat, mereka lebih bersedia menggunakan teknologi, menjalankan perniagaan dan mengambil bahagian dalam ekonomi digital.
Seperti yang dirumuskan dalam perbincangan tersebut, kepercayaan bukan hanya perlu dibina dalam kalangan pengguna, tetapi turut melibatkan industri dan pelabur bagi memastikan pertumbuhan ekonomi digital dapat bergerak seiring dengan keselamatan.