Legenda Manchester United (MU), Paul Scholes mengkritik sekeras-kerasnya tindakan pengurusan tertinggi The Red Devils kerana memecat Sir Alex Ferguson daripada peranannya sebagai duta global kelab tersebut.
Mempunyai reputasi hebat sebagai pengurus terbaik sepanjang zaman buat Manchester United dengan 38 trofi dimenangi dalam tempoh 26 tahun, Ferguson diberikan tugasan tersebut sejak beliau bersara pada 2013.
Difahamkan sejak daripada itu, beliau telah dibayar sebanyak £2.16 juta setahun dalam menggalas tugasan sebagai duta global pasukan.
Namun selepas hampir 11 tahun menikmati bayaran tersebut, pemilik bersama iaitu Sir Jim Ratcliffe dan INEOS merasakan jumlah itu cukup tinggi.
Keadaan yang memaksa mereka menamatkan kontrak Ferguson pada bulan lalu sebagai langkah serta inisiatif ke arah penjimatan perbelanjaan kelab.
Perkara itu mendapat tentangan penyokong setia Manchester United dan Scholes turut berpendapat ia sebagai tanda tidak hormat terhadap legenda ulung kelab itu.
“Saya rasa ia sedikit tidak wajar memandangkan apa yang telah dilakukan oleh beliau (merujuk kepada Sir Alex Ferguson) untuk kelab ini.”
“Agak sedikit tidak menghormati dirinya, tetapi mereka adalah pemilik baru dan pemilik baru membuat perubahan, dan mereka fikir apa yang mereka lakukan adalah yang terbaik untuk kelab.”
“Jika mereka rasa mereka boleh jimatkan wang, saya tahu ia telah dibincangkan tentang £2 juta, jika mereka rasa boleh gunakan ia di tempat lain, maka begitulah.”
“Kelab ini telah berhutang banyak kepada Sir Alex Ferguson. Dia berada di tempat sekarang terutamanya kerana kejayaan yang beliau capai selama bertahun-tahun.”
“Masanya (pemecatan) tidak bagus kerana anda fikir mereka dalam prestasi yang sangat buruk, bolehkah anda tunggu atau lakukan sebelum musim bermula, pada penghujung musim.”
“Publisiti di sekelilingnya tidak begitu baik, tetapi Sir Alex Ferguson akan baik-baik saja, dia akan terus menjadi duta terbaik yang pernah dimiliki kelab,” ujar Paul Scholes menurut sumber laporan Goal.