Pemain tengah SSC Napoli, Scott McTominay tanpa berselindung mengakui bahawa dirinya tidak menyesal memilih untuk meninggalkan kelab lamanya, Manchester United.
Menyertai Akademi Manchester United sejak berusia lima tahun, McTominay telah membuat 255 penampilan bersama skuad senior The Red Devils.
Baca Juga:
- Erik Ten Hag: Saya Sebenarnya Tak Mahu Kehilangan Scott McTominay
- Perpindahan Ke Al-Ahli Gagal, Osimhen ‘Koyak’ Dengan Napoli
- Gattuso Hadiahkan iPhone 16 Kepada Pemain & Kakitangan Hajduk Split Selepas Tundukkan Dinamo Zagreb
Namun pada jendela perpindahan musim panas lalu atau lebih tepat lagi selepas 22 tahun menyarung jersi Manchester United, beliau bertindak meninggalkan United untuk menikmati angin baharu dalam kariernya di Itali.
Penghijrahan itu jelas menimbulkan kemarahan buat penyokong Manchester United kerana McTominay cemerlang pada musim 2023/24 dengan 10 gol dihasilkannya serta mencipta tiga bantuan jaringan dalam 43 penampilan dalam semua pertandingan.
“Sudah tentu ia adalah keputusan yang besar, tidak dapat dinafikan itu,” ujar Scott McTominay menurut sumber laporan Sport Bible.
“Ia adalah keputusan yang besar bagi saya, keluarga saya, dan rakan-rakan saya. Pada masa-masa seperti itu dalam hidup anda, anda hanya perlu berkata, ‘Adakah saya mahu melakukannya? Sudah tentu,’ dan pergi untuk itu. Tiada yang perlu ditoleh ke belakang lagi.”
“Saya tidak pernah menyesal dalam hidup saya atau kerjaya saya dan saya teruskan dengan cara itu hingga hari ini. Saya mahu kerjaya saya berjaya dan saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menjadi pemain bola sepak dan manusia yang terbaik yang saya mampu.”
McTominay kini memainkan peranan penting buat Napoli yang dibimbing Antonio Conte apabila membuat sembilan penampilan dalam Serie A dimana hanya lapan daripadanya beraksi sepenuh masa.
Daripada sembilan perlawanan tersebut, beliau berjaya menjaringkan dua gol (bertemu Como dan Inter Milan) dan mencipta dua bantuan jaringan (bertemu Monza dan Lecce).
Lebih menarik, Napoli kini memimpin carta liga dengan kelebihan satu mata dihadapan empat pencabar terdekat iaitu Atalanta, Fiorentina, Inter Milan dan Lazio.