Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik menyatakan latihan penyusunan semula saiz organisasi (rightsizing) syarikat itu kini sedang berjalan dengan ‘gelombang besar’ seterusnya dijangka berlaku pada bulan Mac, diikuti fasa berikutnya pada bulan Julai.

Muhammad Taufik menyatakan bahawa saiz tenaga kerja yang terkesan kekal tidak berubah iaitu seramai 5,000 orang, atau kira-kira 10% daripada jumlah keseluruhan kakitangan, dengan keseluruhan latihan itu dijangka selesai pada Ogos nanti, petik The Edge.

Baca Juga:

“Ia dilaksanakan secara berperingkat dan mengikut gelombang. Gelombang besar seterusnya adalah pada Mac, dan satu lagi pada Julai.

“Semuanya harus selesai menjelang Ogos, di mana kita akan mempunyai reka bentuk organisasi yang lengkap sepenuhnya, namun angka dan perancangannya telah pun diambil kira.

“Saya ingin menekankan bahawa ini adalah proses yang sukar buat kami. Tetapi ini merupakan proses penyusunan semula saiz organisasi bagi memastikan kita menghapuskan tugasan yang tidak diperlukan,” katanya.

“Kami cukup tangkas (agile) untuk menjalankan tugas dalam persekitaran seperti yang anda lihat tadi; kami mengambil kira keperluan untuk kekal kompetitif, pantas, dan tangkas. Ini bukanlah disasarkan semata-mata untuk mencapai jumlah pengurangan tertentu,” jelas beliau ketika satu sidang media taklimat keputusan kewangan PETRONAS baru-baru ini.

Sumber memberitahu The Edge bahawa gelombang seterusnya bakal menyaksikan kira-kira 1,000 jawatan terkesan.

PETRONAS mengambil langkah ini susulan cabaran struktur jangka panjang yang menjejaskan industri minyak dan gas, bermula daripada peralihan tenaga sehinggalah kepada faktor geopolitik dan perubahan teknologi yang telah meningkatkan turun naik harga hidrokarbon serta menghakis margin dua angka yang pernah dinikmati syarikat minyak sebelum ini.

Sumber