Sering kali kita dengar pelbagai kisah menyayat hati tentang mangsa sindiket penipuan atau scam yang beroperasi di luar negara.

Tapi, kali ini kisahnya agak berbeza dan boleh dikatakan sedikit melucukan. Seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 30 tahun, Yip Chee Min, terpaksa menelan hakikat bahawa nak jadi seorang scammer pun rupa-rupanya perlukan ‘bakat’ tersendiri apabila dia dibuang kerja oleh sindiket penipuan.

Tawaran Gaji ‘Masyuk’ RM40,000 Sebulan

Memetik laporan CNA, Kisah yang unik ini bermula pada Oktober 2024 ketika Yip sedang meluangkan masa di sebuah bar di Kuala Lumpur. Di situ, dia berkenalan dengan seorang lelaki yang dipanggil “Jason”.

Sebab 'Tak Pandai Menipu', Lelaki Malaysia Ini Kena Pecat Dengan Sindiket Scam Selepas 3 Hari

Semasa bersembang, Jason membuka cerita tentang satu peluang pekerjaan di sebuah pusat panggilan scam di Kemboja.

“Aku tak berani nak terima tawaran kerja ni seorang diri, jomlah ikut aku sekali,” lebih kurang begitulah pelawaan Jason yang akhirnya membuatkan Yip bersetuju untuk turut serta.

Siapa yang tidak gelap mata? Melalui kumpulan sembang di Telegram, ketua sindiket menjanjikan gaji lumayan sekitar AS$10,000 (kira-kira RM40,000) sebulan, berserta kos perjalanan yang ditanggung sepenuhnya oleh mereka.

Teruja dengan prospek itu, Yip dan Jason sempat terbang ke Kemboja untuk melawat kompaun sindiket tersebut dan melihat sendiri 32 orang operator sedang ‘bekerja’ di dalam sebuah bilik kedap bunyi. Yip kemudiannya nekad untuk menyertai sindiket itu sebaik sahaja pulang ke Malaysia.

Indah Khabar Dari Rupa, Realiti Gaji Hanya RM7,300

Sebab 'Tak Pandai Menipu', Lelaki Malaysia Ini Kena Pecat Dengan Sindiket Scam Selepas 3 Hari

Pada 21 November, Yip terbang semula ke Kemboja dengan impian gaji puluhan ribu ringgit. Namun, realitinya tidak seindah yang dijangkakan. Gaji yang ditetapkan rupa-rupanya cuma AS$1,800 (sekitar RM7,300), ditambah dengan komisen 1% daripada hasil kutipan mangsa yang akan dibayar menggunakan mata wang kripto.

Yip kemudiannya diberikan sesi taklimat tentang operasi sindiket yang menyasarkan rakyat Singapura, dan dia ditugaskan untuk menyamar sebagai seorang pegawai bank. Untuk melancarkan kerjanya, sindiket membekalkan sebuah iPhone 6, satu skrip khas, berserta senarai 30 nama mangsa warganegara Singapura.

Prestasi ‘Ke Laut’, 3 Hari Terus Kena Pecat

Di sinilah bermulanya episod malang buat Yip. Walaupun sudah bertungkus-lumus menghafal skrip yang diberikan, Yip gagal melontarkan dialognya dengan lancar apabila berhadapan dengan mangsa.

Lebih parah lagi, sepanjang tiga hari dia bekerja di pusat operasi penipuan itu, Yip mencatatkan kosong kadar kejayaan iaitu tidak ada seorang pun mangsa yang berjaya ditipunya

Berang dan kecewa dengan prestasi kerja Yip yang sangat teruk, sindiket tersebut akhirnya memecatnya dan menghantarnya pulang ke Malaysia. Sebelum dia dilepaskan, ketua sindiket sempat merampas telefon pintar peribadi Yip dan memadam segala mesej yang berkaitan dengan operasi mereka.

Kerja ‘Rider’ Di Singapura Sebelum Diberkas Pihak Berkuasa

Selepas episod memalukan itu, Yip mencuba nasib mencari rezeki yang halal. Pada Februari 2025, dia bekerja sebagai penghantar makanan di Singapura dan meraih pendapatan sekitar SGD2,300 (RM7,200) sebulan.

Namun, sejarah hitamnya tetap mengekori apabila dia akhirnya ditangkap oleh pihak berkuasa Singapura pada 9 September tahun yang sama.

Sewaktu dibicarakan di mahkamah, peguam belanya cuba memohon hukuman penjara 13.8 bulan dengan hujah yang agak ironi.

“Kes Encik Yip ini sangat unik. Malah pihak pendakwaan sendiri bersetuju bahawa dia tidak membuat satu pun panggilan scam yang berjaya sepanjang berada di sana,” hujah peguamnya. “Dia hanya menjadi ahli sindiket untuk tempoh masa yang luar biasa singkat dan langsung tidak dibayar walau satu sen pun.”.

Walau bagaimanapun, rayuan itu tidak diendahkan sama sekali. Hakim dengan tegas menolak hujah peguam tersebut dengan menyatakan bahawa kelemahan Yip dalam menipu tidak mengurangkan kesalahannya di sisi undang-undang, memandangkan dia secara rela hati menyertai sindiket itu untuk menipu wang rakyat Singapura.

“Keputusannya untuk menyertai sindiket itu adalah satu perbuatan yang disengajakan dan bermotivasikan wang. Tertuduh pada dasarnya dipecat kerana dia tidak dapat melakukan panggilan scam dengan yakin walaupun sudah mencuba sedaya upaya, dan bukannya dia berhenti kerana rasa menyesal,” tegas hakim di dalam kamar mahkamah.

Pada akhirnya, Yip terpaksa menanggung padah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 16 bulan dan dua minggu selepas dia mengaku bersalah di bawah Akta Jenayah Terancang Singapura.

Pengajaran dari kisah ini? Jenayah tetap jenayah walaupun anda kurang berbakat melakukannya. Carilah rezeki yang berkat, barulah tenang hidup di dunia!