Perancis kini diserang dengan masalah baharu iaitu bencana kutu busuk atau pepijat yang kini berada di luar kawalan. Situasi ini hadir ditengah-tengah Perancis sedang berusaha dalam persiapan menjelang Sukan Olimpik 2024.

Terdapat rakaman video di mana serangga tersebut boleh dilihat berada di dalam kereta api, lapangan terbang dan juga pawagam.

Timbalan Datuk Bandar Paris, Emmanuel Gregoire, menyatakan bahawa ancaman serangan pepijat ini bahaya dan penduduk kini berada dalam risiko dijangkiti pepijat katil.

“Negara itu perlu segera mewujudkan pelan tindakan untuk melawan bencana ini kerana Perancis sedang bersiap sedia untuk menyambut Sukan Olimpik dan Paralimpik pada 2024,” kata Gregoire dalam surat kepada Perdana Menteri Elisabeth Borne, minggu lalu, seperti dipetik Stuff.

Menteri Pengangkutan Perancis Clement Beaune berkata bahawa kementeriannya bakal mengadakan pertemuan dengan semua pengangkutan awam minggu depan untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Tiga tahun lalu, kerajaan Perancis melancarkan kempen anti-pepijat, yang merangkumi laman web khusus dan talian hotline maklumat, apabila bilangan serangga meningkat.

Pakar dari agensi kesihatan dan sanitasi kebangsaan Perancis, Anses, berkata masalah itu adalah fenomena yang muncul di Perancis dan hampir di seluruh dunia.

Apa yang menariknya, kebanyakan warganet yang beragama Islam mengaitkan kejadian ini dengan pengharaman abaya oleh kerajaan Perancis.

Mereka menyatakan bahawa ini adalah balasan terhadap kerajaan Perancis yang mengharamkan pemakaian abaya oleh penduduk muslim Perancis.

Lebih menarik lagi, kejadian ini hadir selepas sebulan Perancis menguatkuasakan pengharaman tersebut.

Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata bahawa Perancis menjalankan sistem yang sekular, jadi mana-mana simbol agama yang wujud di sekolah adalah tidak dibenarkan.