Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), salah satu hab penerbangan tersibuk di Asia Tenggara, insiden bagasi rosak bukanlah perkara yang asing lagi.
Sama ada calar, pecah, atau roda yang tanggal, kerosakan pada bagasi bukan sahaja menimbulkan kerugian tetapi juga boleh merosakkan ‘mood’ perjalanan.
Memetik Siakap Keli, seorang pengguna Threads, Afiq Zaimi berkongsi pengalaman yang tidak menyenangkan apabila bagasinya rosak semasa penerbangan Malaysia Airlines (MAS) di KLIA.

Afiq sedia memuji akan ketangkasan pihak MAS mengendalikan isu penggantian bagasinya rosak dengan pantas.
“Terbaik Malaysia Airline. Buat report beg tercabut 1 tayar kat kaunter KLIA, tak sampai 5 minit terus dibaginya beg baru. Sangat cekap, terbaik,” tulis Afiq.
Perkongsian pengalaman penggantian bagasi yang bagus itu langsung menjadi tumpuan di platform tersebut kerana ramai masih kurang pengetahuan tentang prosedur tuntutan kerosakan atau kehilangan bagasi peribadi.
Walaupun tidak diceritakan lanjut, orang ramai boleh mempelajari prosedur tuntutan menerusi penjelasan yang dikongsikan daripada MAS sendiri.
Kes bagasi tertangguh
Apa perlu dibuat?
Jika anda masih berada di lapangan terbang: Lapor segera di Pejabat Bagasi atau melalui portal Pelaporan Layan Diri dalam talian. Namun kalau sudah keluar dari kawasan lapangan terbang, anda masih boleh membuat laporan dalam talian sahaja.
Respon selepas laporan dibuat
Anda akan menerima nombor laporan kes untuk menjejaki status bagasi. Selepas itu, Malaysia Airlines (MAS) biasanya berjaya mengesan dan menghantar bagasi yang tertangguh ke alamat anda (rumah, pejabat, atau hotel) dalam tempoh 24 jam, tertakluk kepada kelulusan pihak kastam tempatan.
Kes bagasi peribadi rosak
Apa perlu buat?
Jika nampak kerosakan semasa ketibaan, laporkan segera di Pejabat Bagasi di kawasan tuntutan bagasi dan akan menerima Laporan Kesilapan Harta (PIR).
Kalau menyedari selepas balik?
Anda mempunyai 7 hari dari tarikh anda menerima beg untuk membuat laporan aduan secara dalam talian.
Walau bagaimanapun, jika tiada aduan dibuat semasa penerimaan, beg itu akan dianggap diterima dalam keadaan baik mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.
Kes hilang barang peribadi
Anda boleh terus ke Pejabat Bagasi sebaik tiba di sana atau mengisi laporan secara dalam talian melalui e-borang Harta yang Hilang dan Ditemui. MAS akan berusaha sedaya upaya untuk mengesan dan memulangkan barangan anda.
Untuk makluman, Pejabat Perkhidmatan Bagasi di KLIA beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 11:59 malam. Anda boleh menemuinya di Aras 3, Bangunan Terminal Utama (KLIA).