Pasukan Selangor bakal melantik ketua jurulatih yang mempunyai pengalaman luas di saingan bola sepak peringkat Asia bagi menggantikan Tan Cheng Hoe.
Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Dr Johan Kamal Hamidon ketika majlis perjanjian antara Selangor dengan AEON BiG di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Baca Juga:
- Alexandré Pölking Jadi Calon Ketua Jurulatih Baharu Selangor
- Ini Halangan Utama Selangor Untuk Dapatkan Park Hang-seo
- Selangor Ambil Risiko Jika Lantik Keisuke Honda Sebagai Ketua Jurulatih
Johan menegaskan pihaknya tidak akan melantik Alexandre Polking meskipun jurulatih itu berada dalam senarai dan memilih untuk melantik jurulatih lain yang terdiri daripada tiga pengendali luar serta seorang bakat tempatan.
Bakat tempatan yang berada dalam senarai ialah Nidzam Jamil dimana beliau ketika ini menjadi pengendali sementara pasukan selain menjadi pilihan Cheng Hoe untuk meneruskan legasinya.
“Semuanya calon kami berpengalaman dalam (bola sepak) Asia, cuma dalam Asean tak ada,” kata Johan menurut laporan Majoriti.
Melihat kepada kenyataan ini, beberapa nama yang dikaitkan dengan pasukan itu seperti Park Hang-seo, Keisuke Honda dan Petar Segrt berkemungkinan besar tidak akan menjadi pengendali baharu bagi menggantikan Cheng Hoe.
Ketiga-tiga jurulatih di atas memiliki pengalaman di peringkat Asia Tenggara dimana Hang-seo pernah bersama Vietnam, Honda pernah mengendalikan Kemboja manakala Segrt pula pernah menjadi ketua jurulatih kelab Indonesia, Bali Devata dan PSM Makassar.
Penting untuk Selangor mendapatkan ketua jurulatih yang tepat kerana bukan sahaja beraksi di saingan Liga Malaysia, pasukan itu juga akan beraksi di peringkat Asia iaitu AFC Champions League (ACL) 2.