Pasukan Selangor terpaksa melupakan khidmat salah seorang pemain import mereka iaitu Reziq Bani Hani bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Reziq mengalami kecederaan buku lali dan bakal berehat selama enam minggu.

Pemain kelahiran Jordan itu mengalami kecederaan buku lali ketika Selangor menyertai kejohanan persahabatan antarabangsa iaitu RCTI Ultimate Sports di Indonesia bulan lalu.

Ketika perlawanan akhir menentang Persija Jakarta, salah seorang pemain lawan melakukan terjahan keras terhadap Reziq dan membuatkan pemain itu terpaksa dikeluarkan.

Selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, Reziq disahkan mengalami cedera buku lali dan beliau terpaksa melupakan aksi bola sepak untuk enam minggu yang akan datang.

Perkara ini nyata memberikan kesan terhadap Selangor yang sudahpun kehilangan khidmat Faisal Halim ekoran serangan simbah asid yang dilakukan terhadapnya sekaligus terpaksa berehat buat jangka masa panjang.

Reziq Bani Hani yang dibawa masuk pada saat akhir berjaya mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Faisal dimana beliau menampilkan prestasi cemerlang di posisi sayap kiri.

Ada beberapa pemain yang boleh diketengahkan bagi mengisi kekosongan Reziq seperti Harry Danish dan dua pemain skuad B-23 Tahun negara iaitu Syahir Bashah dan Mukhairi Ajmal.

Skuad bimbingan Nidzam Jamil itu akan kembali beraksi dalam saingan liga domestik dimana mereka bakal turun menentang Negeri Sembilan dalam aksi Piala FA pusingan 16 pasukan terakhir.