Setelah kira-kira 20 tahun tidak mempunyai panggung wayang, penduduk Perlis bakal menyaksikan kembalinya kemudahan tersebut dengan pembukaan sebuah pusat beli-belah terbesar di negeri itu.
Panggung wayang di Kangar Jaya Mall, Perlis, yang dijangka dibuka pada Disember 2025, bakal menjadi kemudahan yang dinanti-nantikan oleh penduduk negeri itu setelah ketiadaan panggung wayang selama kira-kira 20 tahun lapor Sin Chew.
Namun, terdapat beberapa ciri unik pada panggung wayang ini yang mungkin berbeza daripada kebanyakan panggung wayang di Malaysia dan lebih menyerupai operasi pawagam di Terengganu.
Mempunyai tempat duduk berasingan untuk berlainan jantina
Sebagai makluman, panggung wayang di Terengganu telah melaksanakan peraturan tempat duduk berasingan mengikut jantina sejak tahun 2020.
Ini bermakna, lelaki dan wanita yang bukan mahram tidak dibenarkan duduk bersebelahan, manakala pasangan suami isteri dan keluarga dibenarkan untuk duduk bersama-sama.
Peraturan ini adalah sebahagian daripada Garis Panduan Pawagam yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis bagi memastikan operasi pawagam itu mematuhi syariat Islam.
Langkah ini diambil sebagai persediaan untuk pembukaan panggung wayang pertama di Perlis setelah hampir 20 tahun.
Pada masa ini, kerajaan negeri Perlis menghendaki pihak pengurusan panggung wayang untuk mematuhi garis panduan hiburan, dan tiga zon tempat duduk akan dibuka, iaitu untuk lelaki, wanita, dan keluarga.
Lampu tidak dipadamkan sepenuhnya
Selain itu, garis panduan ini juga menyatakan bahawa lampu di dalam dewan tidak akan dipadamkan sepenuhnya dan kandungan filem yang ditayangkan mestilah tidak bertentangan dengan akidah Islam atau mempromosikan aktiviti yang dilarang.
Berdasarkan maklumat terkini, kerajaan negeri Perlis telah menetapkan syarat kepada pihak pengurusan panggung wayang.
“Kami lebih cenderung dengan pendekatan Terengganu bagi memastikan hiburan seiring dengan ajaran Islam,” kata Asrul Aimran Abd Jalil, Ketua Penerangan PAS Perlis.
Asrul, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, menyatakan bahawa syarikat pawagam tersebut telah menunjukkan minat untuk mengendalikan sebuah panggung wayang di Kangar.
Namun, beliau menambah, pihak berkuasa yang berkaitan masih belum menerima permohonan perniagaan daripada syarikat itu, lapor Sin Chew.