Seperti diketahui umum, bekas ahli kumpulan Elite, Watie dan Hana mempunyai pertikaian apabila Watie enggan membayar ganti rugi yang diperintahkan mahkamah.

Menurut laporan hari ini, kedua-dua mereka setuju untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak lapan tahun lalu itu secara baik.

Baca Juga:

Difahamkan, Hana memfailkan saman penghutang penghakiman pada 18 Mei 2017 sebagai maklum balas terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Selayang dalam saman induk pada 10 Mac 2015 yang memerintahkan Watie membayar ganti rugi sebanyak RM707,351.83.

Hana meminta ganti rugi selepas mendakwa Watie, gagal membayar balik pinjaman bank yang diperoleh atas namanya untuk membeli kereta Toyota Wish sebelum ini.

Melalui persetujuan kedua belah pihak, Watie bersetuju membayar ansuran bulanan lebih RM2,000 kepada Hana sehingga penyelesaian penuh hutang berjumlah RM796,000 termasuk faedah kepada Hana.

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. – Foto hiasan NSTP

Menurut peguam Mohd Fikri Abd Rahman yang mewakili Hana berkata, pembayaran yang dipersetujui telah diperintahkan oleh mahkamah pada 25 Oktober 2017, namun Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali sebagai penghutang penghakiman, telah beberapa kali menangguh pembayaran tersebut. Kemungkinan besar ia disebabkan oleh pandemik COVID-19 selama dua tahun.

Dalam prosiding sebelum ini, Watie dan peguamnya tidak hadir di mahkamah. Oleh itu, Hana meminta waran tangkap dikeluarkan sekiranya Watie gagal hadir ke mahkamah untuk menjelaskan kegagalannya membayar hutang.

Hana menyatakan dalam pernyataan tuntutannya melalui saman induk bahawa dia memperoleh pinjaman bank sebanyak RM150,000 pada September 2005 untuk Watie kerana Watie tidak layak untuk membuat pinjaman.

Bukan itu sahaja, Hana juga mengatakan selepas Watie dapat memiliki kenderaan itu, Watie gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk gagal membuat bayaran ansuran kepada bank sejak September 2010, lalu menyebabkan Hana muflis pada 1 April 2013.

Dalam pada itu, peguam Mohd Fikri berharap kes ini tidak berpanjangan kerana Watie sudah bersetuju membuat pembayaran dan Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Mat Adnan turut bersetuju menerima jumlah yang dicadangkan oleh Watie.

Sumber