Pemain tengah kelab Belanda, Heracles Almelo iaitu Sem Scheperman dilaporkan berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memperkuatkan skuad kebangsaan.

Menurut perkongsian laman mencari bakat iaitu Frfuturetalents, FAM sudah menghubungi Sem bagi kemungkinan untuk pemain itu menyarung jersi skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

“Pemain Belanda-Malaysia, Sem Scheperman telah berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan mereka telah menghubunginya mengenai peluang untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia.

“Sem Scheperman antara pemain yang menjadi sasaran untuk dibawa ke Malaysia,” dipetik dari perkongsian Frfuturetalents.

Sem memulakan karier dalam bola sepak profesional bersama FC Twente dan kemudiannya beliau berhijrah dengan menyertai Heracles pada musim 2021/2022.

Selain pemain berusia 22 tahun ini, ketua pasukan Burnley iaitu Joshua Brownhill kini berada dalam radar FAM bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan.

Perkembangan itu dilaporkan oleh wartawan tempatan yang turut mengesahkan seorang lagi pemain dari Belanda iaitu Iggy Houben turut berpotensi mewakili Malaysia.

“Saya boleh mengesahkan bahawa saya mempunyai keturunan Malaysia melalui nenek saya, merupakan sesuatu yang amat saya banggakan.

“Walaupun saya memberi fokus kepada kerjaya kelab saya sehingga sekarang, mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa adalah sesuatu yang saya sedia untuk mempertimbangkan.

“Saya menghargai minat dan sokongan daripada komuniti bola sepak Malaysia, saya pasti akan pertimbangkan dengan teliti sebarang peluang di masa depan,” kata Brownhill.

Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebelum ini mengakui salah satu cara untuk meningkatkan prestasi skuad kebangsaan adalah dengan membawa masuk lebih ramai pemain warisan.

Ketika ini, beberapa pemain warisan yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya seperti Corbin Ong, Daniel Ting, Darren Lok sudah mencapai usia lebih 30 tahun dan tidak mampu lagi beraksi untuk tempoh 10 tahun akan datang.