Selesai menonton Harum Malam di GSC Cinema Mid Valley, saya turun ke Starbucks yang berada di tingkat paling bawah. Saya dijadualkan untuk bertemu dengan Dain Said. Pertemuan ini dibuat oleh Kak Opie, individu penting yang menghubungkan pihak produksi dan media.

Sepanjang perjalanan ke Starbucks, otak saya berlegar-legar dengan imaginasi Harum Malam, filem terbaharu karya Dain Said. Saya kenal Dain Said melalui dua cerita, pertama Bunohan dan kedua Dukun. Karya beliau paling puas bagi saya adalah Bunohan. Sehingga sekarang saya rasa karya tersebut masih berada di senarai paling atas.

Baca Juga:

Tentang Harum Malam, saya letakkan filem tersebut disenarai ketiga selepas Dukun. Saya bukan orang yang pandai membuat komentar panjang lebar soal filem. Tetapi karya terbaharu beliau ini berada di tengah-tengah. Saya suka, tetapi kurang puas. Mungkin disebabkan rasa saya dipotong oleh beberapa babak yang dikabur dan didiamkan dialognya oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF). Senang kata, potong stim!

Sampai sahaja di Starbucks, saya nampak Dain Said di luar. Sedang menghisap rokok. Salah seorang wakil produksi menjemput saya duduk, “Ice Latte okay?” Kata dia. Saya angguk tanda setuju. Air sampai, Dain Said masuk. Kami bersalam-salaman dan berkenalan.

Untuk pertemuan kali pertama, Dain Said seorang yang peramah. Dia pandai buat orang asing seperti saya selesa untuk duduk berbincang. Temuramah hari ini tidak berlangsung dengan berat. Kami banyak bercerita soal Harum Malam dan LPF. Ditengah-tengah temuramah, Nandita Solomon, penerbit filem Harum Malam turut sertai perbincangan kami. 

Tentang Harum Malam

Harum Malam berkisarkan pergelutan hidup Iqbal, seorang remaja dan pelatih perubatan tradisional yang mampu meihat makhluk yang ghaib pada mata kasar manusia. Keupayan luar biasa ini mengakibatkan Iqbal sering diganggu makhluk dan ancaman dari dunia alam ghaib sehingga sukar untuk Iqbal membezakan antara realiti dan ghaib.

Satu peristiwa telah menyebabkan rakan-rakan dan keluarga Iqbal terdedah dengan makhluk ghaib yang amat merbahaya. Tanpa mempunyai pilihan, Iqbal terpaksa menggunakan kebolehan istimewa ini untuk melawan makhluk tersebut.

Dain Said terkenal dalam menyentuh isu relevan dalam masyarakat menerusi filemnya dan tidak terkecuali Harum Malam. Dalam filem ini, Dain membawa  tema penderaan dalam keluarga dan kesannya terhadap masyarakat. Selain itu, beliau bawa mitologi Hantu Raya, dengan kelainan tersendiri.

“Im building my world through film, Harum Malam adalah salah satunya. I bukan seorang pengarah yang nak suap penonton dengan semua benda sebab I percaya penonton I semua bijak-bijak. Mereka follow all the dots yang i letak – What happens at the end? What’s the whole underlying theme? In the family, sexuality, whatever I put, penonton i follow the dots. I tahu my audience are intelligent enough to look at it, and join the dots and sees the world that I build,” katanya.

 

Dain turut mendedahkan bahawa mereka bekerjasama dengan koreografer Rihauddin Abdul Kadir (juga dikenali sebagai Din Sabah) yang berkhidmat sebagai jurulatih pergerakan pelakon. Rithauddin, yang juga melakonkan watak Hantu Raya dalam filem itu, adalah seorang penari kontemporari.

Bercakap soal reaksi tentang filem ini, Dain Said berkata bahawa beliau berpuas hati membaca komentar tentang filem ini. Baginya, jika ada komen-komen negatif sekali pun, tidak sebanyak komen positif yang beliau terima. Tambah-tambah apabila filem ini sudah hampir mencecah kutipan sebanyak RM2 juta.

“I rasa gembira dengan responce yang kami dapat. Sebab most of the press tulis semua benda yang positif. Jika ada yang negatif, tidak sebanyak yang positif. I tak kisah, kerana i fikir kami buat benda yang best. Minggu pertama, 5 hari pertama kita sudah cecah satu juta dan I rasa lagi beberapa minggu mungkin akan cecah RM2 juta.

“Mungkin ada orang yang make something out of nothing. Some of them just a player, sesetengah [komen] itu mungkin personal dan sesetengah lagi tu has nothing to do with personalism. But i just move on. I tak fikir sangat benda-benda itu,” katanya.

Di dalam filem Harum Malam, Dain Said bukan sahaja membawa nama besar, tetapi juga pelakon-pelakon cilik yang baru mula bertapak di industri ini. Lakonan Idan Aedan sebagai Iqbal dan Arnie Shasha sebagai Ah Boy harus dipuji kerana mereka berjaya membawa watak masing-masing dengan baik dan cermat.

“Pelakon kanak-kanak, they were superb, sangat natural lakonan mereka. Idan natural dan Shasha pun sama. You tahu this is Shasha first experience berlakon? Kami bantu dia dengan hired acting coach, latihkan dia dari segi movement dan character. Dia seorang pelakon yang amazing for me.

“I remember one time i ask her, sasha you okay? Dia letih dah, start shooting 8 pagi sampai malam. I asked, are you okay? You look tired, she said, takpe okay, let’s go. Mata dia tu merah dah because we used contacts lenses. I sangat bersyukur dapat pelakon-pelakon yang sangat komited dengan kerja mereka.”

Tentang LPF

Perkara yang buat saya kurang puas menonton Harum Malam atau pun potong stim adalah apabila ada beberapa babak yang dikaburkan dan didiamkan dialognya. Saya tidak pasti kenapa, namun dari pemerhatian saya. Cara LPF menapis filem ini kurang konsisten.

Dain Said juga bersetuju tentang hal ini. Dia berkata bahawa kalau mengikut piawaian LPF yang menilai filem ini. Sepatutnya ada beberapa babak turut menerima nasib yang sama – dikaburkan atau didiamkan dialognya. Tetapi babak-babak ‘seram dan ganas’ tersebut dibiarkan, manakala babak lain yang dikaburkan.

“When we talk about this, sebenarnya ada dua POV. First from me, kedua from my producer. Sebagai pembikin filem, I rasa kalau semua babak blur. I rasa penonton macam you akan rugi. You bayangkan kalau kami setuju untuk potong? Lagi potong stim.

“But LPF sudi berbincang dengan my producer. My producer pergi and discuss, but at the end, LPF buat kerja mereka, my producer buat kerja dia. I kena hormat keputusan mereka,” kata Dain Said sebelum menyambung, “Tetapi macam I cakap dengan you, this discussion is not going to be resolved in one article in the newspaper, perlu ada perbincangan besar di antara komuniti pembikin filem, kerajaan dan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Untuk rekod, Harum Malam diletakkan dibawah P-13 (Parental Guidance-13). Ketika ditanya kenapa filem ini diletakkan P-13, Nandita Solomon, penerbit filem ini menjawab bahawa mereka sebenarnya mengharapkan bahawa filem ini duduk di bawah kategori P-18. Tetapi jika berada di bawah P-18, pihak LPF tetap mahu syarikat produksi mengaburkan atau membuang babak-babak tersebut. Ini menyebabkan mereka tidak ada pilihan lain.

“Jika mereka letakkan filem ini sebagai 18, kami akan terima. Selepas itu LPF tawarkan kami PG-13 dengan beberapa adegan perlu disemak. Dan mereka juga beritahu kami bahawa jika mereka letakkan filem itu sebagai 18, kami masih perlu memotong beberapa babak.” kata Nandita.

Untuk rekod, Harum Malam diterbitkan oleh Apparat, dan buat pertama kali bekerjasama dengan D’Ayu Pictures and Skop Productions. Harum Malam juga diterbitkan dengan sumbangan dana daripada Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Harum Malam akan mendapat tayangan perdana antarabangsa (Festival World Premiere) di Fantastic Fest, sebuah filem festival bercorak “genre” (horror, fantasi) yang terbesar di Amerika Utara. Pada bulan Oktober pula, Harum Malam akan mendapat tayangan perdana Eropah (European premiere) di Sitges Film Festival, Sepanyol, sebuah festival filem yang mengketengahkan filem-filem seram dan fantasi dari seluruh dunia.

Di pasaran antarabangsa, Harum Malam diwakili oleh Reel Suspects, manakala XYZ Filem pula mewakili filem ini di pasaran Amerika Utara. Judul antarabangsa untuk filem Harum Malam adalah Blood Flower.