Sistem ‘Semi-Automated Offside Technology (SAOT)’ yang membantu barisan pengadil perlawanan untuk membuat keputusan lebih tepat berkaitan ofsaid akan digunakan dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar nanti.

Perkembangan terkini mengenai penggunaan sistem bantuan teknologi tersebut telah disahkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menerusi laman sesawang rasminya semalam.

Baca Juga:

Ia bukanlah pertama kali SAOT digunakan dalam bola sepak kerana teknologi ini turut pernah diimplementasikan pada kempen Piala Dunia 2022 yang turut diadakan di negara Arab tersebut.

Namun, AFC menjadi konfederasi bola sepak pertama yang menerapkan penggunaan sistem tersebut dalam kejohanan benua.

Selain penggunaan Video Assistant Referee (VAR), AFC melihat pengenalan sistem SAOT akan saling melengkapi dalam membantu pengadil memberikan keputusan yang baik buat pasukan bertanding.

Ia turut memberikan gambaran jelas komitmen tinggi badan induk bola sepak di Asia itu dalam menumpukan kepada peningkatan kualiti, ketepatan dan integriti kepada pegawai perlawanan dalam membuat keputusan.

Sistem SAOT telah menjalani ujian yang meluas, selaras dengan protokol dan garis panduan yang dikeluarkan oleh FIFA dan diluluskan oleh IFAB (Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa), yang membawa kepada pelaksanaannya di Piala Asia Qatar 2023

Ia akan melibatkan penggunaan 12 kamera khas diletakkan secara strategik untuk mengesan kedudukan tepat bola dan pemain di padang khususnya kedudukan anggota badan, serta semua bahagian badan lain yang relevan untuk keputusan ofsaid yang boleh diwujudkan.

Teknologi ini memudahkan semakan kedudukan yang tepat dan pantas dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Apabila pemain yang dianggap ofsaid menerima bola, amaran akan dihantar kepada VAR, kemudiannya boleh menyemak kedudukan serta-merta dari garisan ofsaid ditarik secara automatik oleh teknologi.

Dalam setiap keadaan sedemikian, keputusan muktamad akan memerlukan pengesahan daripada VAR sebelum pengadil di atas padang dimaklumkan. Keputusan muktamad akan sentiasa dibuat oleh pengadil.

Setelah proses membuat keputusan selesai, data sama yang digunakan untuk menentukan kedudukan pemain akan dijana menjadi animasi 3D yang akan dipaparkan pada skrin gergasi di stadium terlibat.

Menurut AFC lagi, animasi 3D berkaitan keputusan Semi-Automated Offside Technology itu juga akan diberikan kepada penyiar siaran langsung dalam usaha memastikan informasi yang telus untuk peminat.

Sumber