Ayah kepada pemain sayap Selangor, Faisal Halim iaitu Halim Saad mengeluarkan kenyataan buat kali pertama sejak kes simbah asid yang melibatkan anaknya baru-baru ini.

Menurut perkongsian Kosmo, Halim berharap pelaku agar mendapat hidayah daripada Allah dan dibuka pintu hati atas kesilapan besar yang telah dilakukan ke atas Faisal.

Baca Juga:

“Saya berserah. Saya redha. Mungkin ada hikmah disebaliknya. Walaupun ada orang anggap ini sebagai kifarah dia, saya terima. Kita orang Islam.

“Cuma saya harap, orang yang niat jahat kepada dia (Faisal), moha Allah beri hidayah sekiranya dia orang Islam. Moga hati dia terbuka kerana dia sudah melakukan kesilapan besar sebagai orang Islam,” katanya.

Pada masa yang sama, ayah Faisal turut menjelaskan anaknya tidak mempunyai musuh sambil mengatakan pemain Selangor itu seorang yang ramah dan kelakar.

Semalam, Selangor mengumumkan bahawa tidak akan beraksi pada perlawanan pembukaan Piala Sumbangsih 2024/25 yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini.

Seperti dilaporkan sebelumnya, Malaysian Football League (MFL) telah menolak permohonan Selangor untuk menangguhkan perlawanan tersebut ekoran kejadian tidak diingini yang dihadapi Faisal Abdul.

Sehubungan itu dengan melihatkan kepada beberapa faktor terutamanya aspek keselamatan, skuad Gergasi Merah memilih untuk tidak beraksi pada perlawanan tersebut.

“Selangor FC telah mengambil maklum keputusan MFL untuk tetap meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2024 ini.

“Setelah penelitian dijalankan dan perbicangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam, pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk TIDAK HADIR ke Perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan.

“Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling utama dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan.

“Segala kesulitan amat dikesali,” tambah kelab itu lagi.