Semua perlawanan saingan AFC B-23 Tahun yang berlangsung di Qatar pada 15 April hingga 3 Mei ini bakal menggunakan teknologi Video Assistance Referee (VAR).

Perkara ini disahkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dimana selain teknologi VAR, saingan tersebut juga bakal menerapkan peraturan tambahan masa berdasarkan masa sebenar yang terhenti ketika permainan sedang berlangsung.

Selain itu, kakitangan dari AFC akan memperkenalkan peraturan untuk memberikan kad kuning dan merah atas pelbagai bentuk salah laku. Sama ada pergaduhan menunjukkan tingkah laku yang tidak wajar atau memprotes pengadil, termasuk kesalahan dalam bentuk menghentikan gerakan serangan yang berpotensi untuk menghadiahkan jaringan dan menafikan peluang untuk menjaringkan gol secara jelas kepada pemain.

Saingan AFC B-23 tahun edisi 2024 disertai sebanyak 16 pasukan bertanding. Tiga pasukan akan layak secara automatik ke temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris manakala satu lagi pasukan (tempat ke-4) akan bersaing dalam pusingan play-off antara benua menentang pasukan kebangsaan Guinea B-23 yang menduduki pasukan peringkat ke-4 dari Afrika, dalam Play-off AFC-CAF pada 9 Mei 2024 di pusat bola sepak kebangsaan Perancis di Clairefontaine, Perancis.

Dalam saingan edisi kali ini, pasukan Malaysia bimbingan Juan Torres Garrido diundi dalam kumpulan D bersama Uzbekistan, Kuwait dan salah satu seteru utama di rantau Asia Tenggara iaitu Vietnam.

Pasukan negara akan memulakan saingan dengan menentang Uzbekistan pada 17 April ini diikuti dengan menentang Vietnam pada 20 April. Harimau Malaya akan menutup tirai saingan peringkat kumpulan dengan menentang Kuwait pada 23 April.