Skuad Bawah 23 tahun (B-23) Malaysia tewas tipis 1-2 kepada China pada aksi persahabatan antarabangsa yang diadakan di Qatar sebagai persiapan akhir menghadapi saingan Piala Asia B-23.

Tonggak utama seperti Mukhairi Ajmal, Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine turut diturunkan selepas tidak beraksi pada perlawanan persahabatan menentang India di Kuala Lumpur.

Baca Juga:

Namun, kemenangan China dibantu oleh dua gol penalti pada minit ke 26 dan 85 oleh Aifeierding Aisikaer walaupun skuad muda negara memberikan tentangan sengit.

Malaysia yang dikendalikan oleh Juan Torres Garrido berjaya menyamakan kedudukan ketika separuh masa kedua menerusi Fergus Tierney pada minit ke 61 sebelum Aisikaer memastikan kemenangan berpihak kepada China.

Walaupun tewas, perlawanan ini memberikan pengajaran berguna kepada pemain dan membantu jurulatih mengenalpasti segala kelemahan yang perlu diperbaiki.

Selepas ini mereka ada dua lagi aksi persahabatan menentang lawan yang sama dan juga Qatar sebelum Piala Asia B-23 bermula.

Saingan Piala Asia B-23 nanti, Uzbekistan bakal menjadi lawan pertama skuad negara pada 17 April sebelum berdepan Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April).

Dua pasukan terbaik akan layak ke suku akhir untuk mencari empat pasukan terbaik yang berpeluang layak ke Sukan Olimpik Paris, Julai ini.

Berdasarkan format kelayakan ke Olimpik, tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 itu akan layak secara automatik manakala satu lagi pasukan terpaksa mengharungi aksi playoff bertemu wakil Afrika, Guinea untuk merebut tiket terakhir ke Paris.

Untuk rekod, Malaysia pernah dua kali layak ke Sukan Olimpik, masing-masing pada temasya 1972 di Jerman Barat dan saingan 1980 di Moscow.